Current song:

Pelawak Imuda Kerugian RM7,000 Rumah Dipecah Masuk


KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal tanah air, Ab Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda kerugian RM7,000 apabila kediamannya di Taman Datuk Ahmad Razali, di sini dipecah masuk baru-baru ini.

Namun Imuda, 52, hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 3 petang semalam selepas beliau bersama keluarganya baru pulang selepas bercuti raya selama 10 hari di Pulau Pinang. "Bila sampai di rumah, saya lihat kesemua bilik saya berselerak dan mendapati komputer riba milik isteri, tiga telefon bimbit, wang tunai RM300 serta koleksi jam tangan saya hilang," katanya kepada pemberita di kediamannya hari ini.
Berikutan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya.

Imuda berkata, suspek kemungkinan terdiri daripada tiga atau empat individu dan masuk melalui tingkap dan jeriji depan yang diumpil menggunakan pemutar skru.

"Mereka (suspek) sempat makan kuih raya dan minum air sirap yang berada di dapur," katanya.

Imuda yang mula dikenali dalam sitkom komedi 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' itu berkata, kes pecah rumah dan ragut sudah banyak kali berlaku di kawasan kediamannya dan isterinya, Zabarina Haja Mushadi, 30, pernah cuba diragut namun diselamatkan jiran yang melihat kejadian itu.
"Bulan lalu rumah jiran depan saya juga pernah dimasuki perompak," katanya.
Suara

Suara

Suara
Suara