Current song:

Pekerja Resort Lemas Berkayak


Anggota JPAM dan bomba mengangkat mayat L Sharitham (gambar kecil) ditemui lemas di Sungai Kinding dekat Tanjung Rambutan semalam.

Ipoh: Seorang pekerja Bukit Kinding Resort, di sini, ditemui lemas selepas terjatuh ketika berkayak di sungai berhampiran resort berkenaan, petang kelmarin.

Mayat L Sharitham, 20, dari Taman Germuda, di sini, ditemui jam 7.40 pagi semalam oleh sepasukan bomba yang menjalankan operasi mencari lebih 12 jam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata mangsa bersama 11 rakannya berkayak di sungai berkenaan jam 7.15 petang kelmarin.
Kayak tersangkut

Katanya, kayak yang dinaiki mangsa dipercayai tersangkut di tengah sungai, menyebabkan mangsa panik sebelum terjatuh ke dalam air.

“Rakan cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal berikutan keadaan gelap. Seorang daripada mereka kemudian memaklumkan kejadian kepada pengurusan resort sebelum melaporkannya kepada polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Azisman berkata, gerakan mencari menemui mayat Sharitham kira-kira 100 meter dari tempat dia terjatuh dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti seumpama itu.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19
Dipetik Dari BERITA HARIAN

Suara

Suara

Suara
Suara