Current song:

Samun Bayar Hutang Along


SHAH ALAM: Terdesak mahu mendapatkan wang untuk membayar hutang along, lima lelaki yang juga anggota ‘Geng Mambau Singh’ nekad menyamun tiga beranak yang juga peniaga barang kemas dan melarikan barang kemas seberat lima kilogram (kg) bernilai RM700,000 dalam kejadian di Jalan Anggerik Doritis, Kota Kemuning, dekat sini, pada 27 September lalu.

Selain membayar hutang, suspek juga menggunakan wang yang disamun untuk membeli dua motosikal secara tunai selain menggunakan wang berkenaan untuk berjoli dan membeli minuman keras.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 50-an bersama dua anaknya berusia 30-an tiba dari Seremban, Negeri Sembilan, bagi menyerahkan barang kemas seperti cincin dan loket yang ditempah pelanggannya yang tinggal di kawasan berkenaan sebelum disamun suspek yang bersenjatakan parang. Bagaimanapun, keempat-empat suspek bersama dua pelebur dan seorang pembeli emas ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama BSJ IPD Seremban dalam beberapa siri serbuan bermula 3 Oktober hingga sehingga 12 Oktober lalu di Shah Alam dan beberapa tempat di Seremban. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, semua suspek berusia 30-an hingga 56 tahun direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

Zahedi berkata, dengan penahanan suspek polis menemui semula dua ketulan emas seberat 780 gram bernilai RM140,000 daripada barang kemas milik mangsa yang sudah dileburkan suspek, wang RM18,950 dan dua motosikal yang dibeli secara tunai menggunakan wang jualan emas yang disamun.

Katanya, selain itu, polis merampas pelbagai peralatan untuk melebur emas yang digunakan suspek. Polis kini memburu seorang lagi anggota geng terbabit yang dikenali sebagai S Kanagaraja atau Prabu, 26, alamat terakhir di Taman Kelab Tuanku, Mambau, Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/17
Dipetik Dari METRO



Suara

Suara

Suara
Suara