Current song:

Chelsea Pecat Di Matteo

DI MATTEO dipecat selepas enam bulan membimbing Chelsea.

LONDON – Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo telah dipecat selepas skuad The Blues tewas 0-3 kepada Juventus pada aksi Kumpulan E kempen Liga Juara-Juara di Stadium Juventus awal pagi semalam.

Pengendali kelahiran Itali itu dipecat selepas enam bulan membimbing Chelsea, sekali gus menerima nasib yang sama seperti pengurus-pengurus sebelum ini.

Chelsea dilaporkan terpaksa mengambil keputusan drastik tersebut bagi mengelak juara Eropah itu gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada kempen Liga Juara-Juara.

“Prestasi dan pencapaian semasa belum cukup bagus. Pemilik dan ahli lembaga kelab ini merasakan bahawa perubahan wajar dilakukan bagi memastikan hala tuju kami masih berada di landasan yang sepatutnya,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Chelsea semalam.

Selepas tewas 1-2 kepada West Bromwich Albion dalam saingan Liga Perdana England hujung minggu lalu, pemilik Chelsea, Roman Abramovich ternyata sudah hilang sabar selepas mereka kalah kepada Juventus.

Kekalahan di peringkat kumpulan itu menyukarkan peluang Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara kerana selain memenangi perlawanan terakhir, mereka juga terpaksa mengharapkan ihsan daripada pasukan lain untuk layak ke pusingan kalah mati.

Sehingga ini, pengganti Di Matteo masih menjadi teka-teki namun Chelsea dalam kenyataannya berjanji akan membuat pengumuman secepat yang mungkin.

“Bagaimanapun, pemilik dan ahli lembaga pengarah kelab tetap mengucapkan terima kasih kepada Di Matteo di atas sumbangan yang diberikannya sejak mengambil alih jawatan pengurus pada Mac lalu.

“Jasa Di Matteo membantu kami menjulang trofi Liga Juara-Juara yang penuh bersejarah dan trofi Piala FA buat kali ketujuh tetap akan dikenang,” katanya.

Begitupun, Di Matteo lebih berjaya selaku pengendali sementara musim lalu berbanding menjadi pengurus sebenar apabila menggantikan Andre Villas Boas musim ini.

Beliau merupakan pengurus Chelsea yang kelapan dipecat di bawah rejim Abramovich sejak pemilik dari Rusia itu membeli kelab tersebut pada 2003.

Chelsea bermula baik di awal musim di bawah bimbingan Di Matteo apabila menang tujuh perlawanan berturut-turut dan satu seri untuk menerajui Liga Perdana England.

Bagaimanapun, prestasi mereka tiba-tiba merudum apabila hanya mampu mencatat dua kemenangan daripada lapan perlawanan terbaharu di semua peringkat termasuk liga domestik dan Eropah.

Ketika ini, Chelsea menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana England.


Berita Dipetik dari Kosmo
Bertarikh 22/11/2012


Suara

Suara

Suara
Suara