Current song:

Dapat restu ibu


AKHIRNYA pelakon filem Lagenda Budak Setan, Farid Kamil, 31, berjaya menyunting aktres muda, Diana Danielle Danny Beeson, 21 sebagai suri hatinya secara sah Sabtu lalu.

Majlis akad nikah di Hotel Flamingo by The Lake, Ampang, Selangor itu berjalan lancar dan dengan sekali lafaz sahaja, Diana yang juga pelakon filem Magika itu kini sah menjadi milik Farid.

Diana dinikahkan dengan berwali hakim disebabkan usahanya untuk mencari bapa kandung gagal selepas beberapa perkara dilakukan termasuk membuat notis di akhbar tidak berjaya menemui bapanya, seorang yang berbangsa Inggeris.

Pada majlis itu, ibu Diana, Norsiah Ramli, 49, enggan ditemu bual dan sebak apabila ditanya perasaannya melepaskan anak tunggalnya itu.

"Saya tidak bersedia untuk cakap apa-apa lagi sekarang," ujar Norsiah sambil mengesat air matanya dan berlalu pergi ke khemah jamuan makan.

Usaha media beberapa kali untuk mendekati ibu tunggal itu juga gagal dan seorang wakil perunding perkahwinan di situ, menyatakan supaya media menghormati pendirian Norsiah untuk tidak mendesaknya memberi komen lagi.

Pada majlis sidang akhbar akad nikah berkenaan pula, pengantin perempuan iaitu Diana sendiri turut diajukan persoalan mengenai sikap ibunya itu.

Kata Diana yang mesra dengan panggilan Dee, semua pihak kena faham dengan sikap ibunya kini yang tidak mahu lagi terdedah dengan publisiti.

"Mama sudah lama tidak terdedah dengan dunia publisiti seperti dahulu dan semua pihak kena faham pendiriannya," jelasnya.



Bagi Dee, apa yang penting bagi dirinya adalah dia faham perasaan ibunya itu dan ibunya itu juga faham apa yang tertulis dalam hatinya.

"Saya gembira apabila mama merestui hasrat saya yang ingin berkahwin awal. Saya dan Farid sangat sayangkan mama dan kami akan bersama-sama menjaganya nanti," katanya.

NORSIAH (kiri) merestui Diana yang ingin berkahwin awal. Paling kanan ialah ibu Farid, Sharifah Bardah.



Dedah rahsia

Bagi Farid pula, menyunting Dee sebagai suri di hatinya adalah perkara yang ingin dilakukan setelah setahun mengenali gadis itu, sejak empat tahun lalu.

Perkara itu disebabkan sikap Dee yang berfikiran matang dalam usia muda.

Ujarnya, ketika usia Dee masih mentah, dia sudah dapat merasakan ingin memperisterikan gadis itu tetapi atas nasihat keluarga yang mahu mereka bercinta terlebih dahulu.

"Saya suka Dee, sebab tidak pernah ada kawan (kacukan) mat saleh. Kalau ikutkan, selepas setahun berkawan saya hendak kahwin dengan dia tetapi dia muda sangat lagi ketika itu, jadi kami bercinta dahulu. Lagi pun (ketika itu) Dee belum dapat seru lagi," ujarnya berjenaka.

Pasangan itu yang terkenal dengan sikap mengunci mulut mengenai perihal perincian episod percintaan mereka itu sebelum ini, akhirnya mendedahkan segala-galanya pada majlis akad nikah berkenaan.

Ujar pelakon filem Tujuh Perhentian itu, dia pertama kali berjumpa Dee ketika majlis anjuran butik pakaian Lord's Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur pada tahun 2008.

"Saya jumpa mamanya dahulu bertanyakan sama ada Dee sudah solo atau tidak dan tidak sangka sebenarnya Dee ada di belakang saya. Saya berjalan dengan Dee hingga ke pintu masuk majlis itu," ujarnya.

Selepas itu kata Farid, dia tidak bertemu lagi dengan Dee sehinggalah dia menelefon sendiri pelakon filem Idola itu untuk menawarkan watak untuk satu filem yang akan diarahkan olehnya.

"Dia (Dee) tanya saya berapa babak dia akan (berlakon), saya cakap sedikit sahaja. Selepas itu bermula episod berkenalan kami," ujar Farid yang tidak menghalang Dee aktif berlakon dan menyanyi selepas bergelar isterinya.

FARID sedia pikul tanggungjawab membimbing Diana selepas mereka disatukan.





Suara

Suara

Suara
Suara