Current song:

Eddie, Wani Pertaruh Aku Janji


SIAPA tidak kenal dengan komposer kelahiran Kelantan yang sinonim dengan lagu-lagu bernada melankolik. Eddie Hamid yang pernah mencipta lagu hit Halimah Jongang dan beberapa lagu tangkap leleh lain mengecapi puncak populariti pada 1990-an. Dia kini tampil dengan duet dengan seorang pendatang baru, Nurul Syazwani Mohd. Basri, 18, atau nama komersialnya, Wani menerusi single terbaharu Aku Janji.

Kata Eddie, dia secara tidak sengaja dipertemukan dengan Wani tidak lama selepas mencipta satu lagu perkahwinan atas permintaan seorang kawan yang akan dihadiahkan kepada anaknya.

"Saya cipta lagu itu untuk kejutan seorang bapa kepada anaknya dalam majlis perkahwinan anaknya, selepas itu saya jumpa Wani dan ajak dia berduet dalam lagu berkenaan," ujarnya yang bersyukur lagu Aku Janji ciptaannya mendapat sambutan menggalakkan dari peminat.

Jelasnya, lagu itu dilancarkan pada majlis perkahwinan anak kawannya di Tanah Merah, Kelantan pada dua bulan lepas. Tetamu majlis itu turut diberikan cakera padat percuma sebagai pengganti bunga telur.

Lebih manis lagi, kata Eddie, pelancaran lagu itu turut disaksikan oleh seorang menteri yang hadir di majlis perkahwinan berkenaan.

"Saya bersyukur lagu Aku Janji duet bersama Wani dapat maklum balas positif, saya juga mahu Wani dapat bertapak lama dan lebih dikenali selepas menyanyikan lagu berkenaan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Eddie, Wani juga akan muncul dengan lagu terbaharu ciptaannya nanti iaitu Bukan Aku Yang Berjanji hasil kesinambungan lagu Aku Janji yang berkisar mengenai kehidupan selepas perkahwinan.

"Wani, saya lihat ada kekuatan sebab dia bukan hanya tahu menyanyi tetapi boleh membaca not-not lagu. Dia ada kelainan sebab itu saya beri kepercayaan untuk menyanyikan dua lagu berkenaan," ujarnya.

Katanya, Wani juga tidak mengambil masa lama untuk merakamkan lagu Aku Janji sebaliknya lagu berkenaan siap dalam masa dua jam sahaja disebabkan selok-belok muzik sudah sebati dalam dirinya.

Sementara itu, Wani yang sebelum ini merupakan penyanyi latar kepada beberapa penyanyi terkenal seperti Saleem dan Najwa Latif berkata, kemunculannya sebagai penyanyi adalah satu yang tidak dirancang.

"Saya tidak merancang untuk menjadi penyanyi utama, tidak sangka lagu Aku Janji boleh diterima pendengar pula, apabila sudah diterima saya teruskan sahaja dalam bidang ini," ujarnya yang bercita-cita untuk menjadi guru vokal sebelum ini.

Wani menambah, dia akan mencuba yang terbaik untuk bersama penyanyi yang sedia ada dan kemunculannya bukan untuk bersaing dengan mana-mana artis lain.

"Saya hendak mencuba nasib dalam bidang ini, kalau berjaya, saya bersyukur," katanya yang akan menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang muzik vokal selama dua tahun tidak lama lagi.

Wani yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman menambah, dia lebih selesa bergerak solo dan dibimbing oleh Eddie sendiri.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11
Dipetik Dari KOSMO

Suara

Suara

Suara
Suara