Current song:

Izzue Malu Minta Duit Ibu


ANAK muda ini sama juga dengan anak-anak muda yang lain. Dia memegang cita-cita dan impian untuk melakukan perubahan dan berjaya dengan transformasi yang diingini.

Izzue Islam atau nama berdaftarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan ini dahulunya seorang pemuda yang penuh dengan angan-angan. Kotak impiannya berisi visual dia menjadi seorang berjaya dan bekerjaya.

Namun dia bukan hanya sekadar duduk dan menjadi mat jenin. Lebih daripada itu dia membawa tulang empat keratnya ke kota raya bagi merealisasikan kehendak dan kemampuan dirinya.

Belajar erti hidup

"Saya datang sebatang kara ke Kuala Lumpur untuk mencari sebuah kehidupan baharu," ujar Izzue dan terus penulis terbayangkan lagu Malek Ridzwan dengan bait aku datang dari desa dengan sebatang kara.

Bukan dicabar sesiapa untuk mengubah nasib diri, bukan juga atas ajakan teman-teman dia ke kota. Cita-citanya satu digenggam erat untuk mengubah nasib dirinya.

"Sampai di Kuala Lumpur saya cuba pelbagai pekerjaan. Salah satunya saya cuba uji bakat dan berjaya jadi pelakon tambahan dalam drama Kampung Jaguh terbitan produksi Double Vision Sdn. Bhd.," buka simpulan cerita awal hidupnya bergelar selebriti.

"Jujurnya saya memang mengimpikan kehidupan yang senang, stabil, kukuh. Mimpi mahu beli aset dan tak harapkan orang lain," ujarnya yang mencabar diri sendiri untuk memulakan sebuah hijrah dalam hidupnya.

"Saya mahu bantu keluarga. Saya tidak boleh hanya bergantung kepada famili. Saya juga jadi malu minta duit daripada ibu. Jadi saya mulakan gerakan perubahan diri saya dengan ke Kuala Lumpur," tambahnya yang mula bergelar pelakon sejak tahun lalu.

Kini namanya boleh dilihat di poster-poster filem malah sudah berderet di kredit barisan pelakon telefilem dan drama. Nama Izzue Islam semakin meluas pengaruhnya. Dia melakukan sedikit demi sedikit, dengan kudrat dan kemampuannya.

Penampilan sebagai Budi dalam 29 Februari dan kemunculan dalam filem Hantu Kapcai baru-baru ini mendapat respons positif. Kepelbagaian watak sudah semakin didalami Izzue dengan jalur hidup yang dilaluinya.

"Hidup dahulu dan kini banyak bezanya. Sekarang tidaklah sesenang yang khalayak nampak tetapi mengalami perubahan yang baik daripada dahulu. Saya ubah hidup saya seorang diri di Kuala Lumpur dan saya mahu terus memberikan yang terbaik," ikrarnya apabila sudah meletakkan kedua belah kakinya dalam padang seni.

"Emak juga terima apa sahaja pekerjaan saya sekarang. Dahulu dia risaukan saya dengan kerja pelakon ekstra dengan gaji RM50 sehari atau paling tinggi RM100. Dia tanya adakah saya dapat bertahan dengan gaji sebegitu? Tapi mak tahu saya ada bakat. Pesannya, kalau mahu jadi artis, jadi betul-betul dan itu yang saya pegang," tambah Izzue yang mengaku suka kerja sekerat jalan sebelum bergelar artis.

"Dahulu memang suka kerja separuh jalan sebab cepat rasa tak selesa," ketawanya.

Abang rampas kekasih

"Alhamdulillah saya mendapat pujian hasil lakonan saya. Kata peminat, lakonan saya berbeza dalam setiap filem pembabitan saya. Saya bersyukur dengan pujian tetapi saya belum mencapai kepuasan. Mungkin tidak akan pernah puas.

"Untuk diri saya, saya mahu gali lagi peluang dan ilmu. Kalau sekarang 50 peratus penonton suka akan lakonan saya, saya mahu naik ke 90 peratus. Biar dengan cara perlahan-lahan," nekadnya dalam membawa predikat artis dalam naik turun nafasnya kini.

Terbaharu dalam kesibukan bersama Forteen bersiap sedia menghadap Anugerah Industri Muzik ke-19 sebagai pencalonan dan pembuat persembahan, Izzue membahagikan waktu berada di lokasi drama bersiri bertajuk Duri.

"Duri ialah sebuah drama adaptasi daripada novel tulisan Fauziah Ashari. Saya membawakan watak Hazim yang terlibat dengan konflik cinta. Orang yang dicintai akhirnya menjadi kakak ipar sendiri," ujarnya tentang drama 15 episod yang bakal bersiaran di Astro Prima kelak.

Dia mengaku teruja dalam masa yang sama merasakan watak Hazim adalah satu watak yang cukup berat untuknya. Perlu dalam keberadaan emosi membuatkan dia berasa Hazim harus dilakari sebaik mungkin.

"Saya baca novel Duri dua kali. Saya sebenarnya bukan pembaca novel tetapi untuk memahami jalan cerita, saya rasa ini persediaan yang perlu saya lakukan. Saya mahu khalayak rasa apa yang Hazim rasakan seperti mana yang mereka visualkan sewaktu membaca novel Duri," kata Izzue yang mahu mendekati Hazim sedekat mungkin.

KEMBARA Izzue Islam ke Kuala Lumpur adalah dengan sebuah nekad.

Untuk tahun hadapan juga, jadual filem lakonannya sudah berbaris panjang. Bermula dengan filem Ular arahan Yusry Abdul Halim, Izzue juga sudah menjalankan tugasannya sebagai aktor melalui filem Hantu Tok Mudim, Mat Tudung dan Chikaro serta Kami Histeria.

Bersama grup harmoninya yang turut digawangi Ariz, One dan Ameer, Forteen sedang dalam perancangan menyiapkan single terbaharu yang bakal keluar pada tahun hadapan.

Sebuah bukti bahawa mereka ini bergerak serius sebagai sebuah kumpulan vokal ialah tersenarai dalam nominasi AIM dalam kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu.

Cari wanita faham karier

Melihatkan jejaka yang lahir pada 2 Jun 1990 ini bergaya di depan lensa, tampak dia semakin selesa dan bijak memilih busana.

Untuk sesi fotografi kali ini pun dia bergaya santai. Berbaju corak flora bertanah putih yang digayakan dengan seluar senteng dan sepatu loafer. Menyangkut kaca mata hitam di celah butang, tampak santai dan selesa.

"Saya sebenarnya tidak pandai berfesyen. Tetapi saya gemar menonton filem dan melihat fesyen yang dikenakan. Saya juga belek majalah untuk mengetahui fesyen terkini," jujur Izzue memberi komen tentang imejnya.

Akhir tanya, dia disuakan soalan sesuai untuk jiwa muda. Tentang soal teman hidup dan wanita yang sesuai kehendaknya. Pasti ramai yang bertanya sama ada hati Izzue bukan hanya bercorak bunga di baju tetapi juga hatinya.

Ketawa dia menjawab: "Saya perlukan seseorang yang memahami karier saya. Yang faham tentang jadual kerja saya yang tak menentu. Adakala juga saya perlu ke luar kota dan lama di sana demi tuntutan kerja. Wanita itu harus faham itu."

Apabila ditanyakan adakah sudah ada calon dalam hidupnya, dia menjawab ringkas dalam tidak menjawab. "Insya-Allah, Insya-Allah," itu sahaja diucapkan menutup cerita.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18
Dipetik Dari KOSMO

Suara

Suara

Suara
Suara