Current song:

Jalaludin Hampir Putus Asa

JALALUDIN di samping Naib Presiden AETN All Asia Networks,
Michele Schofield. Jalal bertanggungjawab mengalih suara
dalam dokumentari Mankind: The Story Of All Of Us.
TUGAS sebagai seorang pengalih suara untuk sebuah program dokumentari tidak semudah berlakon. Hal itu diakui sendiri oleh Datuk Jalaludin Hassan yang baru-baru ini terlibat dengan tugas tersebut untuk dokumentari Mankind: The Story Of All Of Us.

Masih berbaki beberapa episod yang setiap satunya berdurasi hampir sejam, pelakon veteran itu mengaku dia hampir berputus asa pada peringkat awal menggalas tugas berat itu.

“Saya mengambil alih suara Josh Brolin, seorang aktor Hollywood yang saya sanjungi dan apabila terpilih untuk melakukan tugas itu sejujurnya saya berbesar hati.

“Saya diberikan skrip untuk satu episod yang tebalnya seperti skrip sebuah telefilem. Episod pertama, saya terpaksa mengambil masa lebih kurang lima jam untuk disempurnakan dan hakikatnya saya hampir berputus asa.

“Ketika rakaman, saya tidak dibekalkan skrin untuk melihat apa yang sedang ditayangkan. Sebaliknya, saya perlu mendengar suara Josh Brolin setiap kali sebelum melontarkan suara.

“Momentum suara yang diperlukan untuk sesebuah program dokumentari perlu konsisten sepanjang masa dan ia bukanlah tugas yang mudah,” katanya yang ditemui ketika tayangan perdana episod pertama Mankind: The Story Of All Of Us di GSC Signature, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain perlu menjaga suaranya, Jalaludin mengakui dia juga harus menjaga kualiti kesihatan, diet dan jadual penggambarannya sepanjang pembikinan dokumentari 12 episod itu.

“Dokumentari ini mengganggu saya sebenarnya, saya perlu melahirkan perasaan saya sendiri agar tidak dibayangi oleh Josh Brolin. Saya perlu memahami skrip dan proses rakaman berjalan terus tanpa sebarang latihan.

“Saya menerima tawaran ini bukan semata-mata faktor bayaran, tapi untuk mencabar diri sendiri dan mencipta pengalaman baharu mengendalikan program yang bermanfaat kepada penonton,” ujarnya ketika ditanya mengenai cabaran sepanjang terlibat dengan dokumentari tersebut.

Program itu merupakan siri TV pertama yang meneliti perkembangan manusia dari zaman ke zaman. Setiap episod menceritakan misteri sejarah perkembangan tamadun manusia, penemuan baharu dan peristiwa kemuncak dalam revolusi manusia dan dunia.

Antara 12 episod yang ditampilkan sepanjang siri tersebut termasuklah Inventors, Empires, Survivors, New World, Revolutions dan New Frontiers.

Mankind: The Story Of All Of Us mula ditayangkan pada 14 November lalu pukul 9 malam di saluran History (Astro 555).


Berita Dipetik dari Kosmo!
Bertarikh 23/11/2012

Suara

Suara

Suara
Suara