Current song:

Nenek Perkasa


TUMPAT: Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun layak digelar ‘nenek perkasa’ apabila masih mampu mengangkat 10 tong gas sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan berulang-alik mengemudi sendiri bot enjin sangkut miliknya dari kediamannya yang dijadikan kedai runcit di Pulau Teluk Ranjuna ke Pengkalan Kok Majid, di sini.

Dengan berbaju kurung dan berkain batik, malah bertubuh kecil, Nik Haripah Othman mengemudi bot untuk 10 minit perjalanan demi mencari rezeki halal bagi mendapatkan pendapatan tambahan selain wang dikirim tujuh anaknya.

Nik Haripah yang mempunyai 10 cucu berkata, dia melakukan pekerjaan itu sejak enam tahun lalu tanpa kekok dan mengakui sihat tanpa sebarang penyakit sehingga kini.

“Tiada apa rahsia diamalkan sehingga saya mampu melakukan pekerjaan itu walaupun berusia 63 tahun. Mungkin sepanjang hidup saya sering makan nasi bersama ulam-ulaman.

“Walaupun ada yang bimbang melihat saya mengemudi bot dengan muatan tong gas, saya sentiasa membaca doa menaiki kenderaan dan dimurahkan rezeki sebelum mengemudi bot. Saya berserah kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurutnya, selain gas yang dijual mendapat permintaan daripada penduduk pulau berdekatan, dia membekalkan gas ke Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, di sini dengan keuntungan RM2.50 bagi setiap tong.

“Memang anak saya menyuruh berhenti melakukan kerja ini kerana bimbang keselamatan saya, tetapi saya minat berniaga dan masih ada tenaga bekerja.

“Lagi pun suami menghidap asma dan tidak boleh melakukan kerja berat. Sekurang-kurangnya, pendapatan ini boleh digunakan untuk membeli keperluan harian,” katanya yang menjaga ibunya, Nik Mariam Nik Hasan, 90, yang uzur.
   
 KUAT...Nik Haripah mengangkat tong gas yang diambil aripada pembekal.

Nik Haripah berkata, dia pernah berdepan detik cemas apabila tong gas diangkat jatuh ke dalam sungai.

“Dengan doa dan pengalaman dimiliki membuatkan saya terus melakukan pekerjaan ini sehinggalah saya tidak mampu melakukannya.

“Apapun saya berharap ada pihak sudi membantu saya membesarkan perniagaan,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07
Sumber Dari Hmetro

Suara

Suara

Suara
Suara