Current song:

Nora Danish Pilihan Anuar


Jarang sekali kita dengar Anuar Zain bercerita soal hati dan perasaan. Setiap kali diajukan persoalan mengenai wanita pilihan, jawapan diterima cukup klise.

Namun, pengakuan dibuat penyanyi popular ini pada majlis pelancaran video muzik Ajari Aku di Solaris Dutamas, semalam, mengejutkan media yang hadir.
Tanpa berselindung, Anuar, 42, mengakui meminati Nora Danish. Malah jika ditakdirkan dia bercinta dengan pelakon itu, dia tidak akan menolaknya.

“Memang Nora menepati cita rasa wanita idaman saya. Kalau ada teman wanita pun, saya akan cari seperti dia. Saya suka lihat wajahnya dan menyenangi karakternya yang feminin serta manja,” dedah penyanyi Ketulusan Hati ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Loan Cheong, dan pengarah muzik video terbabit, Ghaz Abu Bakar.

Rahsia ini didedahkannya ketika menjawab pertanyaan media mengenai pemilihan Nora membintangi muzik video terbarunya itu.

Walaupun meminati aktres putih melepak itu, tegas Anuar, mereka bersikap profesional ketika bekerja.
“Sampai saja di set, kami jalankan tugas masing-masing. Selepas selesai semua tugasan, kami balik rumah. Kami berbual pun mengenai kerja,” jelasnya sekali gus menepis dakwaan kononnya mereka beberapa kali keluar bersama selepas penggambaran berakhir.

Memandangkan status kedua-duanya solo, Anuar turut diusik pertanyaan tidakkah dia teringin menjalinkan hubungan dengan pelakon berdarah kacukan Melayu-Myanmar itu? Sambil tertawa Anuar menjelaskan, buat masa ini dia lebih selesa bersendirian. Dia juga lebih senang membiarkan hubungan dengan Nora kekal sebagai kawan.

Menerusi klip video cukup menyentuh perasaan itu, Nora berlakon sebagai isteri Anuar. Ia turut menampilkan Datuk Rahim Razali.

Dalam perkembangan lain, penantian Anuar untuk mengadakan konsert solo berskala mega berakhir dengan kemunculan konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari. Bakal diadakan pada 16 Februari 2013, sehari selepas sambutan ulang tahunnya,

“Sesuai sambutan 30 tahun saya dalam dunia seni, banyak perkara menarik akan diketengahkan dalam konsert ini. Antaranya, perubahan dari segi susunan muzik.

“Saya sudah memilih lagu yang bakal dinyanyikan dan semuanya lagu popular saya sejak mula menjadi penyanyi. Selain itu, konsert ini juga akan menggunakan skrin LED,” katanya.

Anuar juga tidak akan menampilkan penyanyi undangan atau paduan suara pada konsert itu. Mengenai penajaan, Anuar berkata, perkara itu masih lagi diusahakan.

“Konsert ini anjuran syarikat saya, Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Universal Music. Buat masa ini kos penganjuran ditanggung bersama.

Kami belum dapat kos sebenar, tapi jumlahnya memang tinggi kerana kami mahu menyajikan yang terbaik buat peminat. Bagaimanapun, usaha mendapatkan penajaan berterusan,” jelasnya yang kali akhir mengadakan konsert solo pada 2009, di Istana Budaya.


Berita Dipetik dari Berita Harian
Bertarikh 20/11/2012

Suara

Suara

Suara
Suara