Current song:

Peluang Terakhir Tebus Maruah


PEMAIN skuad negara gigih berlatih sebagai persediaan
menghadapi kempen Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad ini.
PEJAM celik, debaran seluruh rakyat Malaysia terhadap kemampuan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki semakin sampai ke kemuncak.

Ahad ini, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal bakal membuka tirai Kumpulan B berdepan juara tiga kali, Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun, rentetan beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam tiga perlawanan persahabatan terakhir sebelum ini jelas mengundang resah peminat bola sepak tempatan.

Tewas dua kali kepada Vietnam dan Thailand (0-1 dan 0-2) sebelum sekadar seri 1-1 kepada Hong Kong baru-baru ini, sudah tentu hanya kemenangan ke atas Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini dilihat mampu mengubati semula kepercayaan peminat.

Atas kertas, Malaysia dilihat tidak berdepan masalah bagi mengatasi Bangladesh kerana mereka berada pada ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang jauh lebih tinggi iaitu 163 berbanding Bangladesh (171).

Kekalahan Bangladesh kepada Thailand dengan keputusan 0-5 dalam aksi persahabatan terakhir mereka sebelum ini juga bukan alasan buat Harimau Malaya untuk melakar kemenangan dan ia diakui kapten, Safiq Rahim.

Menurut Safiq, aksi malam ini merupakan peluang terakhir menebus maruah mereka selaku juara bertahan sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki, Ahad ini.

Namun pada masa sama, bekas arkitek Selangor yang bakal berhijrah ke Johor musim depan itu tidak mahu rakan-rakan sepasukannya memandang mudah aksi berdepan Bangladesh.

“Kami wajib menang perlawanan ini, 1-0 pun tidak mengapa, janji menang.

“Kalau menang 10-0 ke atas Bangladesh pun tiada gunanya jika gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki, yang penting kami wajib menang ke atas mereka supaya menyuntik moral kami selepas ini,” katanya selepas dilantik sebagai duta minuman isotonik, 100Plus di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada masa sama, Safiq juga mengakui dia dan rakan-rakan perlu mempelbagaikan corak permainan mereka sepanjang Piala AFF Suzuki nanti memandangkan gaya persembahan mereka dilihat seolah-olah mudah dibaca lawan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Sebagai juara bertahan, memang susah bermain dengan cara lama kerana semua pasukan mengkaji kekuatan dan kelemahan kami.

“Cuma pada masa sama, saya dan rakan-rakan masih mempercayai percaturan jurulatih,” katanya.

Mengulas pertemuan menentang Singapura dalam aksi pembuka tirai kelak, Safiq sedar kedua-dua pasukan memiliki sentimen peribadi dalam perlawanan itu.

“Ia aksi pertama kedua-dua pasukan, jadi kami harap kami mampu mengatasi Singapura supaya lebih yakin dan tenang bagi menghadapi baki dua lagi perlawanan (menentang Laos dan Indonesia) selepas itu,” kata Safiq.


Berita Dipetik dari Kosmo
Tarikh Terbitan 20/11/2012

Suara

Suara

Suara
Suara