Current song:

Saya Bukan Hipokrit


SEKILAS pandangan pada raut wajah cantik milik Nur Anzalna Md Nasir, 24, air mukanya seolah-olah memberikan amaran kepada masyarakat sekeliling agar tidak terlalu rapat dengan dirinya.

Malahan, jika dia tidak membuka bicara mahupun melemparkan senyuman, gadis kacukan Cina sebelah ayah dan Punjabi (ibu) kelihatan sombong, keras hati dan bukannya jenis mudah mesra dengan sesiapa.

Namun, sifat sebenar anak kedua daripada lima beradik itu sebenarnya kontra dengan luarannya. Anzalna seorang yang lemah lembut, manja, ceria dan suka mengusik. Sikapnya sentiasa riang dan mampu menceriakan suasana dengan gelak tawanya.

Sikap manjanya pelakon kelahiran Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 9 Januari 1988 itu sering disalah erti hingga ada yang melemparkan tuduhan bahawa ia dibuat-buat dan menimbulkan perasaan kurang senang pada mata yang memandang.

Apatah lagi membawa watak Dee dalam rantaian drama Adam dan Hawa, Anzalna berjaya menghidupkan karakter itu dengan menyuntik sifat ‘gedik’ menurut diinginkan pengarah menyebabkan penonton semakin meluat dengannya.

Ramai beranggapan Anzalna berjaya membawa karakter itu kerana sifat gedik sememangnya diri sebenar anak jati kelahiran Pulau Pinang itu. Bagaimanapun, finalis Dewi Remaja 2010/2011 itu menegaskan, dia hanya menjadi diri sendiri apabila berada di luar lokasi penggambaran.

Baginya, dia tidak perlu pura-pura bersikap begitu semata-mata mahu menarik perhatian orang.

“Itu memang diri saya. Terpulang pada individu untuk menilai tetapi saya tidak pernah melakukan sesuatu yang bakal mencalar kredibiliti saya sebagai pelakon.

“Karakter Dee dalam Adam dan Hawa tidak ada kaitan dengan diri sebenar. Saya hanya melakonkan watak itu seperti diarahkan. Kalau orang tak suka, maknanya saya berjaya membawa watak itu dengan baik. Rasanya tidak ada apa-apa yang perlu saya ubah.

“Buat apa mahu mengubah diri kerana orang lain? Bukannya tidak kisah dengan cakap-cakap orang tetapi kalau dilayan nanti, saya sendiri yang sakit hati.
Kalau saya menutup sikap manja itu nanti, rasa kekok depan orang. Lepas itu timbul pula isu baru saya minah propa.

“Sekarang ini, paling penting saya tahu batas ketika berada di khalayak ramai,” tegasnya.

Walaupun tidak mengendahkan tanggapan orang, Anzalna mengakui hatinya tetap terguris. Katanya, satu-satunya cara untuk melindungi perasaannya dari terus disakiti adalah mendiamkan diri.

Selesa menunjukkan diri sebenar, Anzalna enggan menjadi hipokrit hanya kerana mahu orang yang mengatakan dirinya gedik menarik balik andaian itu.

Dia membiarkan masyarakat sendiri mengenali dirinya yang sebenar. 

Baginya, tidak perlu mencanang satu dunia bahawa dia bukanlah seperti yang diandaikan kerana ia bukan cara terbaik. Tekadnya ialah hadirnya Anzalna dalam bidang seni bukan atas dasar bertanding siapa lebih popular atau lebih banyak mencipta isu sensasi namun sekadar memahatkan bakatnya dalam bidang itu.

Jelas kelihatan namanya semakin pantas melonjak naik. Bunga yang sedang mekar dalam bidang seni itu bijak mengatur langkah agar bakatnya meniti di bibir peminat sekali gus menutup gosip panas yang pernah terjadi sebelum ini.

Tiada masalah bekerja dengan Neelofa

UMUM tahu pertengahan tahun lalu, kecoh dengan perang yang tercetus antara Anzalna dan Neelofa kemudian sedia berdamai dalam majlis dianjurkan Persatuan Seniman Malaysia.

Bagaimanapun perang dingin mereka belum benar-benar jernih apabila Neelofa dan Anzalna tidak bersalaman. Alasan diberi, mereka perlu bergegas kerana ada urusan lain.

Bagaimanapun, baru ini mereka kelihatan hadir dalam satu majlis yang sama menunjukkan kedua-duanya tidak menyimpan perasaan tidak puas hati dan menerima kejadian itu dengan hati terbuka. Malah Anzalna dan Neelofa tidak menolak ketika diminta bergambar bersama ketika majlis sidang akhbar Anugerah Skrin 2012, bulan lalu.

Tentunya dengan populariti mereka berdua ditambah kontroversi itu, mungkin ada pihak berminat menggandingkan mereka dalam satu filem atau drama. Adakah Anzalna dan Neelofa bersedia bekerja bersama?


Tegas Anzalna, tiada sebab untuknya menolak tawaran bekerja dengan Neelofa.
Malah pemegang Diploma Bahasa Perancis dari Launceston College, Tasmania, Australia ini mengakui sentiasa membuka pintu untuknya menerima tawaran itu.

“Setakat ini belum lagi ada tawaran berlakon bersama Neelofa sama ada drama mahupun filem. Saya menantikan juga tawaran itu kerana mempunyai keinginan berganding dengannya.

“Saya tiada masalah berlakon bersama. Kejadian itu pun sudah lama berlalu dan sudah selesai dengan cara baik. Kenapa mesti nak ingat dan menjejaskan kerjaya?

“Industri seni di Malaysia bukannya besar seperti Hollywood. Tiada guna mengelak, kalau tidak bertemu di lokasi penggambaran pasti bersua di majlis yang sama,” katanya.


Bermula sebagai pelakon iklan seperti Celcom, Franch Oil dan Ecpi kemudian berlakon drama antaranya Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu, Anzalna bakal muncul dalam filem pertamanya, Sepah The Movie berganding dengan pelawak Shuib, Jep dan Mamat.

Dalam filem yang bakal ditayangkan di pawagam pada 29 November ini, Anzalna memegang watak Ayu Sofea. Anzalna mengakui watak itu agak mencabar kerana Ayu Sofea sangat berbeza dengan dirinya.

“Ayu Sofea sangat lemah lembut dan ayu menyebabkan saya perlu berhati-hati agar tidak terlebih membawa watak itu. Wataknya yang sangat lembut dan penuh sopan santun itu umpama wanita Melayu terakhir. Banyak perkara yang harus saya kawal agar dapat gambarkan watak Ayu.

“Sebelum ke penggambaran filem ini, saya sudah pernah berjumpa dengan Shuib dan Jep dalam Karoot Komedia. Tidak ada masalah untuk mencari keserasian cuma mereka kadang-kadang tidak ikut skrip. Terpaksalah ‘shoot’ semula,” katanya.

Anzalna juga turut berlakon dalam filem Tyickoouns berganding dengan Aaron Aziz, Remy Ishak dan Bront Palarae yang bakal ditayangkan tahun depan.


Berita Dipetik dari Metro
Bertarikh 24/11/2012

Suara

Suara

Suara
Suara