Current song:

Tempoh rehat Syafie tamat


MENGENALI aktor Syafie Naswip sejak berusia 14 tahun dan kini telah berusia 20 tahun, orangnya tidak pernah berubah.

Apa yang berubah hanya ketinggian dan kematangan dirinya. Selebihnya Syafie masih kekal seorang anak muda yang pemalu, pendiam dan cukup berbakat sebagai aktor.

Syafie yang dihubungi Kosmo! sehari selepas dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2012 menewaskan aktor yang lebih senior seperti Zahiril Adzim, Zaidi Omar, Bront Palarae dan Soffi Jikan, cukup ramah ketika sesi temu bual berlangsung.

Ucapan tahniah dilayangkan kepadanya disambut dengan ucapan terima kasih. Rasanya sudah berbakul ucapan tahniah diterima selepas majlis ASK 2012 berakhir.

Namun, segala ucapan itu tiada tandingannya dengan ucapan tahniah daripada dua insan kesayangannya, ibu dan ayah yang setia menonton detik kemenangannya di depan kaca televisyen.




"Saya sedikit sebak ketika menerima anugerah sebab ibu saya teringin datang ke majlis ASK 2012. Sebelum ini, ibu langsung tidak pernah datang ke mana-mana majlis hiburan.

"Namun, saya hanya ada dua tiket sahaja. Jadi, ibu terpaksa menonton dari rumah. Itu yang membuatkan saya sedikit sedih. Keesokan harinya, ibu membelek-belek anugerah yang saya dapat sambil mengucapkan tahniah," kata Syafie yang merupakan anak tunggal kepada pasangaan Norsiah Ahmad, 47, dan Naswip Abu Nawas, 50.

Sebelum berlakon dalam filem Songlap pada tahun lalu, semangat lakonannya hilang selama dua tahun selepas pemergian pengarah dan gurunya, arwah Yasmin Ahmad.

Kemudian, selepas filem Songlap, Syafie berehat selama setahun daripada lakonan untuk memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diambilnya pada tahun lalu.

Ruang kosong yang ditinggalkan Syafie terlalu lama, sehingga ada yang lupa kewujudannya dalam industri lakonan.

"Mungkin lama sangat saya tidak muncul dalam mana-mana majlis hiburan, sampai ada orang yang sudah lupakan saya.

"Sebenarnya saya jarang datang ke majlis besar bukan tidak mahu, tetapi saya tidak tahu nak buat apa dan bawa diri," katanya tanpa berselindung.

Disoal apakah yang dilakukan dalam tempoh rehat yang terlalu panjang kerana jarang sungguh wajahnya muncul di kaca televisyen, Syafie memberitahu dia melakukan banyak perkara di luar bidang seni.


SYAFIE NASWIP memberitahu dia kini sudah bersedia untuk memberi komitmen sepenuh masa terhadap dunia lakonan.

"Filem terakhir lakonan saya adalah Juvana. Selepas itu belum ada sebarang tawaran lagi. Jadi, masa yang kosong itu saya isi dengan bantu kawan berniaga burger dan baju Melayu selain bekerja di kedai makan," ceritanya penuh jujur.

Meskipun jarang muncul dan kini kurang menerima tawaran lakonan, hasil wang yang diterima daripada kerja lakonan sebelum ini disimpan dengan baik.

Kebanyakan wang yang diterima digunakan untuk keperluan keluarga, memandangkan ibunya hanya seorang suri rumah dan bapanya bekerja sebagai seorang buruh kasar.

"Saya banyak habiskan wang untuk keluarga dan saya bukannya jenis yang suka menghabiskan wang untuk perkara yang bukan-bukan.

"Sekarang saya dalam proses mengambil lesen kereta dan selepas itu bolehlah saya beli kereta. Mudah untuk saya ke lokasi penggambaran dan juga bawa ibu bapa ke mana-mana.

"Kalau boleh saya ingin beli kereta yang selesa dan tahan lama. Biar tahan sampai saya berkeluarga kelak. Buat masa ini, untuk ke mana-mana saya hanya menggunakan teksi atau naik motosikal sahaja," tuturnya.
Sumber Dari Kosmo
Baca Berita Selengkapnya Disini
Suara

Suara

Suara
Suara