Current song:

Tidak Perlu Bersemuka


KUALA LUMPUR - Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha menganggap tidak perlu baginya untuk bersemuka dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi membincangkan isu lot tanah dan bonus.

Buat masa sekarang, Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 dan Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia itu menyerahkan kepada budi bicara pengurusan KAFA memutuskan apa yang difikirkan wajar ekoran hasratnya untuk meninggalkan Kelantan dan menyertai Johor musim depan.

“Tidak perlu (jumpa Annuar). Saya pun tidak mahu komen banyak-banyak sekarang. Saya sudah serahkan kepada KAFA," katanya semalam, yang turut enggan mengulas ungkapan ‘derhaka’ oleh Annuar terhadap beberapa pemain yang dianggapnya cuma berjasa tetapi tidak setia dengan Wira Merah selepas memenangi Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA 2012.

Kelmarin kata Norshahrul atau Mat Yo sekembalinya di Sepang daripada dua perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Vietnam dan Thailand: “Itu (bonus) hak saya selaku pemain yang membantu Kelantan menang treble (tiga piala) dan selama tiga musim bersama (Kelantan). Bagi saya, dia (Annuar) sebagai presiden, boleh menilai situasi ini dan tahu hak saya."


Norshahrul yang masih berkontrak setahun dengan Kelantan, perlu melunaskan nilai baki itu menurut jumlah gaji bulanannya jika masih berkeras mahu ke Johor yang dikatakan sebelum ini sedia membayar pampasan sehingga RM1 juta kepada KAFA.

Selainnya, pemain Kelantan yang turut dikaitkan dengan penghijrahan musim depan ialah Nurul Azwan Roya, juga ke Johor, Ramzul Zahini Adenan (Selangor) dan S. Chanturu (Perak) serta Azlan Ismail (T-Team).

Mat Yo kini kembali ke Wisma FAM, Kelana Jaya bagi menyambung kem latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan terakhir menentang Hong Kong di Shah Alam, Rabu ini sebagai persediaan mempertahankan Piala Suzuki AFF dalam Kumpulan B di Bukit Jalil mulai 25 November ini.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10
Dipetik Dari UTUSAN




Suara

Suara

Suara
Suara