Current song:

Ajal selepas gagal merompak


KUALA LUMPUR: “Saya hanya mampu menangis dan menjerit meminta tolong ketika dua lelaki bertopi mengacukan parang selepas memecah masuk kedai dan meminta saya menyerahkan wang tunai sebelum melarikan diri,” kata pekerja sebuah pusat Internet di Taman Len Seng, di sini, dikenali sebagai Winnie, 20 tahun yang menjadi mangsa samun, semalam.

Menurutnya, kedua-dua lelaki tidak dikenali itu pada mulanya menceroboh premis terbabit kira-kira jam 9.30 malam dan terus membuka mesin wang namun hampa berikutan tiada wang di dalamnya.


“Mereka kemudian datang ke arah saya dan cuba mengacukan parang serta meminta menyerahkan wang tunai jika tidak mahu diapa-apakan, ketika itu ada seorang pelanggan sedang bermain komputer.

“Saya yang ketakutan kemudian bertindak menjerit meminta tolong sambil menangis dan memberitahu tidak mempunyai wang menyebabkan mereka panik dan terus melarikan diri,” katanya.



Winnie berkata, selang beberapa minit kemudian dia terdengar bunyi tembakan di luar premis menyebabkan dia memberanikan diri keluar sebelum mendapati lelaki yang mengacukan parang mati ditembak polis.



“Premis ini baru beroperasi selama dua minggu dan ini kejadian kali pertama berlaku sejak saya bekerja di sini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, suspek berusia 20-an bersama seorang rakannya dipercayai cuba menyamun pusat Internet terbabit sebelum seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang kebetulan membuat risikan di kawasan berkenaan kira-kira jam 10 malam terserempak dengan mereka.

Menurutnya, pegawai polis berkenaan yang terdengar jeritan dari dalam premis terbabit bertindak memberhentikan kenderaannya sebelum dia mendapati dua lelaki bersenjatakan parang cuba melarikan diri.

“Dia kemudian memperkenalkan diri sebagai polis dan cuba menahan mereka namun suspek cuba menyerangnya menyebabkan dia terpaksa melepaskan satu das tembakan mengenai dada seorang suspek sementara rakannya berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas mayat kita menjumpai dadah di dalam poket seluarnya dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan. Kita juga akan meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) untuk siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Sumber Asal  : Hmetro
\Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/19
Suara

Suara

Suara
Suara