Current song:

Anne Ngasri mohon doa kebahagiaan


Kisah cintanya sering menjadi tumpuan lensa kamera, meski pun pelbagai cerita sumbang didengari namun, wanita berusia 28 tahun ini tetap kelihatan tenang.

Selepas perkahwinan pertama terkandas di tengah jalan, penceraian dengan bekas suami, Abdul Wafi Hassan dua tahun lalu dilihat mematangkan dirinya.

Namun, sekali lagi dia tenggelam dalam cinta bersama penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Pun begitu, apa yang diimpikan bersama pelantun lagu Sayang Sayang itu turut kecundang di tengah jalan.

Kini, setelah beberapa bulan berlalu, ibu kepada tiga anak ini kembali tersenyum.

Bakal menamatkan status jandanya 22 Disember ini, Nasriah Ngasri atau lebih dikenali sebagai Anne Ngasri mengakui biarlah apa yang berlaku menjadi satu sejarah dalam hidupnya.

Jelasnya, sudah sampai waktu dan ketika dia menjalani kehidupan baru yang lebih bermakna.

"Jujur saya katakan, saya sudah tidak mahu mengingati kisah lalu. Mungkin ramai yang memberi pelbagai persepsi terhadap saya kerana kisah cinta sebelum ini, namun saya anggap ia sebagai satu kenangan.

"Sekarang, biarlah saya bahagia bersama tunang dan anak tercinta," kata tunangan Mohd Sumali Reduan, 40 ini.



Pernah kecewa dengan perkahwinan lalu, Anne bagaimana pun berdoa agar masyarakat merestui perkahwinannya kali ini.

"Doakan kebahagiaan saya bersama bakal suami dan anak, tiada apa yang diinginkan setiap wanita di dunia ini selain sebuah rumah tangga yang sempurna," kata anak kelima daripada enam beradik ini.


Tetap berdebar

Dalam pada itu, meski pun pernah bergelar isteri sebelum ini, Anne berkata, debaran berkahwin untuk kali kedua tetap ada.

"Walau pun pernah mengalami detik bergelar isteri namun saya tetap berdebar menanti saat dinikahkan.

"Macam mana kali pertama dahulu, samalah juga kali ini, apa pun saya harap agar majlis yang dirancang berjalan dengan lancar," beritahunya majlis pernikahan akan di adakan di kampung Anne di Benut, Pontian.

Berbicara lanjut mengenai majlis perkahwinannya ini, Anne menjelaskan, semuanya dijalankan secara sederhana sahaja.

"Untuk kali ini, hanya majlis kesyukuran diadakan. Memang saya buat pelamin, tetapi untuk sesi bergambar sahaja, itu pun di rumah pihak lelaki," katanya akan menjemput seramai 3,000 tetamu di majlis itu nanti.

Berkongsi sedikit harapan terhadap Sumali, Anne yang bakal mengenakan busana rekaan Ezuwan Ismail ini mengakui meletakan harapan tinggi agar Sumali mampu membimbing dirinya ke jalan yang lebih baik.

"Saya sudah memilih dia, jadi besar harapan saya dia dapat memberi sinar baru dalam perkahwinan kali ini.

"Buat masa sekarang saya memang selesa dan begitu bahagia bersamanya, lagi pun anak-anak juga dapat menerimanya dengan baik," ujar Anne masih belum menetapkan panggilan bagi anaknya terhadap Sumali.


Dapat sokongan tunang

Sementara itu, walaupun sibuk dengan persiapan perkahwinannya, Anne tidak lupa memberikan perhatian terhadap karier.

Bakal muncul dengan drama terbaru yang akan ditayangkan di TV9, Anne bersyukur kerana Sumali tidak pernah menyekat pembabitannya dalam bidang ini.

"Alhamdulillah, dia sentiasa menyokong apa yang saya lakukan.

"Saya sangat gembira kerana dia faham dengan tugasan saya sebagai anak seni dan memahaminya," katanya yang turut muncul sebagai hos bagi sebuah program di TV9 bermula 26 Januari ini.

Ditanya adakah dia akan berhenti bergelar pelakon dan memberikan perhatian kepada rumah tangga, Anne menjelaskan, buat masa sekarang dia tidak pernah terfikir untuk berhenti.

"Seperti yang saya katakan, Sumali tidak pernah menghalang saya untuk berlakon, jadi saya akan jalani segalanya seperti biasa, cuma saya akan pastikan menjadi seorang isteri seperti yang diinginkannya dan melebihkan rumah tangga dalam segala hal," katanya lagi.


Profil

Nama: Nasriah Ngasri

Tarikh Lahir: 18 Disember 1984

Usia: 28 Tahun

Tempat Lahir: Pulau Pinang

Keluarga: Anak Kelima Daripada Enam Beradik

Anak: Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazharah Afrozah, 2.

Sumber Asal : Sinar harian
Suara

Suara

Suara
Suara