Current song:

Kim Swee Masih Berteka - Teki


WAN ZACK (kiri) cuba melepaskan diri daripada kawalan 
pertahanan Sarawak pada aksi persahabatan di Stadium Negeri, 
Kuching, Sarawak kelmarin.
PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee masih merahsiakan senarai pemain yang akan dibawa ‘berguru’ ke Australia, Januari depan. Kim Swee berkata, hanya pemain-pemain yang cergas 100 peratus akan dipilih untuk menyertai skuad tersebut.

“Kami masih ada masa yang panjang iaitu lebih kurang 20 hari lagi untuk bertolak ke Australia. Jadi, kami akan pilih siapa yang akan pergi dan sebaliknya,” katanya selepas Harimau Muda menewaskan Sarawak 4-2 pada aksi persahabatan di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya malam kelmarin.

“Paling mustahak, para pemain hendaklah cergas sepenuhnya sebelum fikir untuk terpilih menimba pengalaman di sana (Australia) nanti.” Buat masa ini, sekurang-kurangnya tiga pemain Harimau Muda dijangka terlepas peluang keemasan berlatih di bumi kanggaru, Januari depan.

Ketiga-tiga pemain tersebut iaitu Fandi Othman, A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari Ibrahim masih dibelenggu kecederaan. Sementara itu, Kim Swee mengakui berpuas hati dengan persembahan mantap anak-anak buahnya ketika menewaskan skuad Bujang Senang itu.

“Walaupun ketinggalan pada awal permainan, para pemain mampu bangkit dan bekerja sebagai satu psukan untuk mencipta gol demi gol. “Ini petanda positif bahawa perancangan yang diatur telah membuahkan hasil, namun kita akan perkemaskan lagi kerana masih terlalu awal untuk gembira,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda yang bermula hambar menerima padah apabila Sarawak terlebih dahulu membolosi gawang pasukan pelawat seawal minit keempat menerusi sepakan padu penyerang tuan rumah, Bobby Gonzales.

Terkejut dengan jaringan itu, pemain-pemain Harimau Muda yang diketuai Wan Zack Haikal mula menampilkan rentak sebenar dengan melancarkan serangan bertali arus.

Kerja keras pemain-pemain Harimau Muda berbaloi apabila mereka berjaya mendapat gol penyamaan menerusi jaringan pemain sayap, Wan Zaharulnizam pada minit ke-30.

Bagaimanapun, lebih daripada 15,000 penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut kecewa selepas kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang membosankan dan tiada percubaan bahaya kira-kira 15 minit sebelum rehat.

Sebaik babak kedua bermula, Harimau Muda menguasai permainan dan sekali lagi membolosi gawang Sarawak pada minit ke-57.

Wan Zack bijak menewaskan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani selepas pengadil perlawanan Mohd. Radzi Othman menghadiahkan sepakan penalti kepada Harimau Muda setelah pemain import Sarawak, Guy Bwele mengasari Wan Zaharulnizam.

Meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan pada babak kedua, Harimau Muda hanya mampu meledak dua jaringan lagi ketika permainan berbaki lima minit.

Wan Zaharulnizam menyumbat gol kedua peribadi dan ketiga Harimau Muda pada minit ke-85 manakala gol keempat disumbangkan oleh pemain gantian, Mohd Nurridzuan pada minit ke-90.

Gol kedua tuan rumah pula dijaringkan pemain import Sarawak, Ivan Babic pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan pasukan muda negara yang diterajui kapten, Mohd. Fadhli Mohd. Shas apabila bijak mengekang pergerakan rangkaian penyerang Sarawak.


Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 30/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara