Current song:

Rajagobal Tutup Mulut Pengkritik

RAJAGOBAL (kiri) terus membuktikan sentuhan berbisanya
apabila berjaya membawa skuad negara melangkah
ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012.
KEJAYAAN Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir kempen Piala Suzuki AFF 2012 sememangnya menutup mulut pengkritik yang lantang mengecam kewibawaan jurulatih, Datuk K. Rajagobal sebelum ini.

Menurut beliau, kritikan demi kritikan itu telah ‘membantu’ skuad kendaliannya mara lebih jauh selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Biarpun bermula hambar apabila dimalukan 0-3 oleh Singapura pada aksi pertama, Rajagobal optimis Harimau Malaya masih berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF sebaik mengerjakan Laos 4-1 dalam aksi kedua.

“Biarkan mereka (pengkritik). Kritik hanya satu kritikan dan mereka boleh memberikan pandangan masing-masing. Jika ia lebih kepada memberikan semangat kepada pemain, sudah tentu bagus buat pasukan saya.

“Saya selalu memberitahu bahawa usaha yang saya lakukan ini demi negara. Pemain-pemain ini sentiasa beraksi dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa mahu memberikan kegembiraan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ia merupakan satu perlawanan sukar. Kami memulakan aksi dengan begitu baik dan berjaya mendapatkan dua gol.

“Walaupun kami mendahului mereka dengan kelebihan tersebut, Indonesia tetap memberikan tekanan kepada kami dan beraksi dengan tempo yang pantas dalam usaha untuk mendapatkan jaringan.

“Sebaik rehat separuh masa pertama, saya memberitahu kepada barisan pemain bahawa kami memiliki peluang untuk menamatkan perlawanan itu dengan kemenangan.

“Lebih mustahak, saya gembira kerana berjaya membantu skuad negara mara ke peringkat separuh akhir,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.

Dalam perkembangan yang sama, Rajagobal membayangkan ‘potensi’ sebenar skuad negara masih belum di jelmakan.

“Mungkin (prestasi sebenarnya) skuad negara masih belum tiba.

“Pemain saya antaranya Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim juga kepenatan.

“Jadi, apabila pemain-pemain saya dalam situasi sebegini, mereka tidak mempamerkan karakter sebenar dalam aksi tersebut.

“Saya agak bimbang kerana corak permainan kami terlalu terbuka buat Indonesia. Jadi, saya membuat keputusan dengan meletakkan dua pemain tengah defensif (Gary Steven Robbat dan Amar Rohidan) bagi mengimbangi perlawanan tersebut.

“Bagaimanapun, kami berjaya dan ia bukan satu kemenangan mudah buat kami. Hasilnya, skuad ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan berdepan Thailand, Ahad ini,” katanya.

Ditanya mengenai pertemuan dengan Thailand, Rajagobal memberitahu: “Saya tahu (formula berdepan Thailand) dan pemain saya akan membuktikannya di tengah padang.”


Berita Dipetik dari Kosmo!
Bertarikh 03/12/2012



Suara

Suara

Suara
Suara