Current song:

‘Singapore Street’ serba ada

SEREMBAN: Kedudukannya hanya terletak pada laluan kira-kira 100 meter panjang tetapi ia begitu popular bukan saja dalam kalangan penduduk di negeri ini, malah negeri berhampiran kerana keunikannya menjual 1001 barangan keperluan harian pada harga rendah dan munasabah.

‘Singapore Street’ yang terletak di tengah-tengah bandar ini begitu unik kerana deretan 14 kedai lama itu menjual aneka barangan termasuk keperluan harian yang dijual secara runcit dan borong hingga menyebabkan ia bagaikan sebuah pusat beli-belah.
Antaranya alat tulis, barangan plastik, aluminium, pinggan mangkuk, percetakan, barangan elektrik, barang mainan, permainan komputer, alat perhiasan diri dan ringkasnya semua barangan terdapat di situ termasuk keperluan untuk semua bangsa.

Singapore Street dikatakan dibuka sebelum Perang Dunia Kedua, malah ada premis di situ yang mencecah usia seabad. Lokasinya terletak di belakang Wisma Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan iaitu bangunan kedua tertinggi selepas Wisma MAA di bandar ini.

Dengan harga dikenakan lebih murah berbanding di premis lain, Singapore Street bukan saja menjadi tumpuan peniaga kecil, pasar malam malah suri rumah tangga.

Disebabkan bekalan yang pelbagai, pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai bangsa, tidak kira had umur, yang kecil, tua dan muda, setiap hari tertumpu di premis perniagaan di situ bagi mendapatkan barangan yang mereka inginkan.

Walaupun banyak pusat beli-belah moden dibina di bandar ini, Singapore Street tetap menjadi pilihan orang ramai lantaran pelbagai barangan yang mudah diperoleh di situ, hingga ada kalanya peniaga di situ tidak cukup tangan melayani pelanggan.

“Kita tidak perlu bersusah payah buat pasport untuk perjalanan jauh ke Singapura. Di Seremban pun ada,” adalah antara ungkapan masyarakat tempatan mengenai Singapore Street yang terletak di Jalan Siow Loong Hin.

Peniaga barangan runcit, Kong Pan Seong, 60, mengakui Singapore Street menjadi tumpuan namun tidak ramai yang mengetahui sejarah bagaimana tempat itu dinamakan begitu rupa.

Dia yang berniaga di situ sejak 30 tahun lalu, berkata suatu ketika dulu banyak lori yang datang memunggah barangan perdagangan di situ dari Singapura hingga menyebabkan masyarakat setempat menamakan kawasan itu Singapore Street kerana kesibukannya.

“Saya difahamkan kedai di sini sudah wujud lebih 100 tahun. Keunikan kawasan ini kerana ia menawarkan 1001 barangan keperluan. Sikap semua peniaga di sini melayani pelanggan dengan baik dan sama rata tanpa mengira kaum menyebabkan orang ramai sukan berbelanja.

“Tidak hairanlah, Singapore Street sangat sibuk setiap hari, malah bertambah sibuk ketika masyarakat majmuk di negara ini bakal menyambut perayaan masing-masing, tidak kira hari raya, Tahun Baru Cina mahupun Deepavali dan Krismas kerana kadangkala pelancong asing juga turut membeli barangan di sini.

“Kalau cuti sekolah pun sibuk juga, tapi musim perayaan banyak orang datang cari bekalan tepung dan bahan untuk membuat kuih selain barangan plastik,” katanya.

Kong berkata, walaupun jalan itu ditukar nama kepada Jalan Siow Loong Hin mulai 1970-an bersempena dengan nama seorang tokoh tempatan, kebanyakan penduduk setempat lebih mengenali Singapore Street.

Seorang lagi peniaga, Zuliawati Abdullah, 38, dari Pedas, Rembau, berkata semua barangan perniagaannya dibeli di Singapore Street kerana harganya lebih murah berbanding di tempat lain.

Dia yang menjalankan perniagaan makanan ringan sejak lebih 20 tahun lalu, mengakui Singapore Street menjadi pilihannya kerana semua barangan yang diperlukan terdapat di situ.

“Saya mengambil stok secara pukal dari kedai di kawasan ini sejak lebih 20 tahun lalu kerana perbezaan harga yang sedikit memberi keuntungan kepada saya.

“Murah sangat tidaklah, tapi kita dapat jimat 20 hingga 50 sen bagi satu produk makanan ringan. Itu sudah mencukupi,” katanya ketika memilih pelbagai barangan makanan ringan pelbagai jenama dari sebuah kedai di Singapore Street.

Bagi Noriati Mohd Shah, 55, dari Ampangan berkata, walaupun dia bukan seorang peniaga, tetapi Singapore Street sering kali dikunjunginya untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan rumah kerana harga di situ boleh melakukan tawar menawar.

Menurutnya, ada kalangan peniaga yang boleh bertolak ansur dari segi harga, bagaimanapun bagi barangan yang tidak boleh ditawar, harganya masih dianggap rendah.

“Saya suka membeli barangan di sini kerana mudah diperoleh disebabkan hampir semua barangan termasuk tradisional seperti tudung saji rotan, periuk, termos air, kerusi, payung dan pelbagai alat mainan kanak-kanak ada dijual,” katanya.

Suara

Suara

Suara
Suara