Current song:

Kejar Anugerah Taktik Bersih

Anzalna Nasir
JADUAL aktres berbintang Capricorn itu tersusun padat, sarat dengan penggambaran drama bersiri Maskara yang bertemu penghujungnya semalam, menyusul pula Bangkitnya Seorang Perempuan untuk mengisi slot Samarinda TV3 tidak lama lagi.

Anzalna Nasir nampak semakin jelas mengatur strategi kariernya, selain sisi peribadi yang difikirkannya tidak perlu terlalu banyak pendedahan buat seketika.

Bertemu dan menetapkan resolusi tahun 2013, kata Anzalna, 25, dia mahu membersihkan namanya daripada kontroversi tahun lalu sekali gus membuktikan bahawa dia bukan tin kosong atau sekadar wajah pelaris di layar kaca mahupun layar perak.

"Siapa mahu diri dilingkari kontroversi? Seboleh-boleh saya mahu elakkan diri daripada kontroversi terutama cerita yang kurang enak didengar. Kontroversi ini bukan saja menjatuhkan maruah kita, kadangkala merosakkan nama kita dan keluarga serta mengaibkan.

"Orang sekeliling pun meluat juga kalau terlalu banyak buat kontroversi, kalau sudah berada dalam industri hiburan, tunjukkan bakat dengan cara yang elok.

"Jangan bagi orang tengok kita sebagai sampah dalam industri, bakat tiada tapi kontroversi lebih. Lambat-laun lenyap kena bawa arus!" hujahnya berkenaan prinsip kerjayanya tahun ini.

Membulatkan tekad, kata Anzalna yang ditemui ketika sesi fotografi eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini, dia mahu memfokuskan bidang lakonan terlebih dahulu sebelum terjun ke bidang lain termasuk pengacaraan dan nyanyian.

"Tawaran untuk mengacara datang tidak putus-putus tapi saya sendiri sudah memilih untuk fokus satu persatu. Selagi tidak berpuas hati dengan kualiti lakonan saya, tawaran tersebut terpaksa diketepikan sementara waktu sampai saya betul-betul bersedia," katanya yang bakal muncul dalam sitkom Buletin Cinta TV3 dan filem Tyickoouns tahun ini.

Bakat lakonan yang kian menyerlah dan semakin mencuri tumpuan sejak akhir-akhir ini kata Anzalna resepinya bukan penilaian sendiri.

"Saya tidak akan sesekali memuji lakonan saya sebaliknya mengambil kira pandangan penonton dan pengarah. Bukan senang untuk orang puji kita secara ikhlas tetapi Alhamdulillah penonton dapat menerima cara lakonan saya.

"Semuanya atas usaha kita dan sentiasa mencari kesalahan diri. Jangan ingat semua perkara kita lakukan itu betul dan dari situ kita dapat memperbaiki," tambah Anzalna.

Trofi anugerah

Ditanya mengenai penghargaan atau anugerah dalam industri, jawab Anzalna dia bukan seorang pelakon yang terkejar-kejar untuk diiktiraf sedangkan bakat tidak seberapa.

Jelasnya, biarlah pengiktirafan itu datang secara semula jadi, mengikut fitrah dunia seni dan bukannya menggunakan taktik kotor.

"Semua mengimpikan untuk memegang sebuah trofi anugerah dan tidak disangkal penghargaan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan tapi persoalannya adakah anugerah itu diberikan berdasarkan bakat?

"Seseorang boleh popular kerana dua faktor, pertama kerana bakat yang luar biasa dan keduanya kerana terlalu banyak kontroversi.

"Berada dalam industri seni kerana mahu mencari duit dengan cara betul dan tidak mahu meraih populariti kerana kontroversi.

ANZALNA mengakui agak kecewa
dengan pihak yang telah
memanipulasi namanya
di Instagram.
"Cara saya adalah berjuang dengan ikhlas, taktik bersih dan tiada perasaan iri hati apatah lagi menyekat rezeki orang. Biar peminat sendiri nampak bakat kita berbanding kontroversi," katanya.

Semahunya Anzalna enggan berada dalam situasi selesa dalam kanvas seninya. Tegas bintang muda itu biar pengiktirafan datang lambat asalkan maruah diri tidak tercela dan rezeki tidak terhenti separuh jalan.

Instagram palsu

Tidak terlepas daripada lingkaran kontroversi apabila baru-baru ini Anzalna juga menjadi mangsa penipuan akaun palsu Instagram yang menggunakan nama Anzalna Nasir dan gambar-gambar peribadinya.

Luah Anzalna, dia kecewa dengan tindakan individu terbabit yang dirasakan terlalu obses sehingga memiliki gambar peribadi yang dia sendiri tiada.

"Saya pernah membuka akaun Instagram ketika penggambaran drama Indera Jonet suatu ketika dulu tetapi tidak aktif kerana saya tidak suka menunjuk-nunjuk.

"Tiba-tiba saya mendapati ada sebuah akaun menggunakan nama saya (Anzalna_Nasir) dan memuat naik gambar-gambar peribadi saya seolah-olah dia berada di situasi yang sama dengan saya.

"Oleh itu, saya membuka sebuah akaun baharu (AnzalnaNasir88) supaya orang ramai tidak tertipu. Sejujurnya saya tidak kenal dan sukar menjejaki individu yang melakukannya," tambah Anzalna.

Tidak terburu-buru untuk mengambil tindakan undang-undang namun Anzalna memohon supaya akaun itu tidak digunakan untuk mengaibkan namanya.


Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 18/01/2013

Suara

Suara

Suara
Suara