Current song:

Rahsia Bertahan Lama

Mus & David Arumugam
WALAUPUN sudah lebih 40 tahun bertapak dalam industri seni tanah air, pelantun lagu Andainya Aku Pergi Dulu, Datuk David Arumugam bersama kumpulannya, Alleycats masih dapat bertahan dan dikenali sehingga hari ini.

Lagu-lagu nyanyian Alleycats yang malar segar sentiasa menjadi siulan di bibir peminat mereka tidak mengira usia meskipun banyak lagu yang lebih segar melodinya dimainkan di corong-corong radio. Faktor utama Alleycats mampu bertahan sehingga kini antaranya adalah peminat yang tidak jemu menyokong perjuangan seni mereka dari awal kewujudan mereka dalam industri ini.

"Bukan saya yang buat Alleycats jadi popular, tetapi peminat yang menyokong dan sentiasa berada di sisi kami tidak kira masa. Mereka masih suka dengan kami. Mereka menyanyikan lagu Alleycats di karaoke dan radio pun masih putar lagu kami dan yang paling penting adalah peminat masih ada sebab itu kita boleh kekal," kata David merendah diri.

Setiap persembahan atau lagu yang dihasilkan bukan tangkap muat sebaliknya mengambil kira cita rasa peminat dan halwa telinga yang mendengar setiap hasil seni muzik mereka.

"Sampai sekarang saya bersama Alleycats masih lagi aktif membuat persembahan di acara-acara korporat dan kami menyanyi untuk peminat bukan syok sendiri," bicaranya yang sudah 44 tahun menjadi anak seni.

Formula untuk kekal lama dalam industri hiburan turut dikongsi vokalis kumpulan May, Mustaffa Din atau lebih dikenali sebagai Mus yang telah bertapak sebagai anak seni selama 27 tahun.

Persefahaman dan toleransi amat penting untuk mengekalkan agar sesebuah band mampu bertahan lebih lama dan menghargai apa yang mereka ada berbanding kumpulan lain.

"Rahsia untuk mana-mana artis bertahan lama dalam industri adalah persefahaman terutamanya artis berkumpulan kerana tanpa faktor tersebut, saya jamin band tersebut terkubur dalam masa yang singkat.

"Jika ada masalah, kita kena selesaikan dengan cepat dan jangan perbesarkan perkara yang kecil," tutur Mus yang akan muncul dalam rancangan realiti televisyen terbitan RTM, Sentuhan Ikon 2013 menjelang Mac depan.

Sentiasa fokus dan memberikan komitmen seratus peratus semasa mengadakan persembahan juga antara formula yang dikongsi Mus bersama pihak media ketika ditemui di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur kelmarin.

"Selain itu kita jangan terlampau tertekan dengan menganggap band sebagai bebanan kepada kita sebaliknya perlu enjoy, barulah kita rasa seronok untuk bekerja dalam masa yang sama mengambil berat.

"Banyak band-band baharu saya tengok mereka lebih suka main-main dan tidak serius dalam kerja, hanya mahu suka-suka," tambah Mus.

Perjalanan seni

Perjalanan seni kedua-dua ikon seni tanah air itu terus rancak dengan aktiviti-aktiviti yag memenuhi jadual harian mereka. Itu bukti betapa Mus dan David masih relevan dalan industri muzik tempatan masa kini.

David ketika ini sedang sibuk dengan proses penjenamaan semula kumpulan Alleycats yang diatur pihak Universal Music bagi menaikkan semula populariti mereka seperti zaman awal kemunculannya.

MUS dan David mahu terus memacu band masing-masing dalam menongkah arus dunia seni.

Proses memberi nafas baharu kepada kumpulan yang kekal malar segar itu akan melibatkan konsert jelajah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Saya sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti tahun ini. Selain memenuhi undangan majlis korporat, saya juga akan keluarkan album audio visual konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang berlangsung tahun lepas.

"Tahun ini juga Alleycats sedang menumpukan perhatian untuk mewujudkan perpustakaan kami sendiri yang mempamerkan sejarah Alleycats dari zaman awal penubuhannya sehingga sekarang," katanya.

Perpustakaan yang berkonsepkan muzium itu dilengkapi dengan studio rakaman, ruang istirehat dan juga kedai menjual cenderamata eksklusif Alleycats.

Menurutnya lagi, perpustakaan belum bernama itu tidak dipanggil muzium kerana Alleycats masih hidup lagi dan ia tidak seperti perpustakaan biasa yang bukan sekadar menempatkan buku-buku, tatapi ia turut mempamerkan anugerah-anugerah yang pernah Alleycats menangi sepanjang pembabitan mereka dalam dunia seni tanah air.

"Jika mahu belajar mengenai Alleycats dari A hingga Z, anda boleh datang ke sana sambil bersantai bersama rakan-rakan dan keluarga.

"Tarikh sebenar pembukaan perpustakaan itu tidak dapat dipastikan lagi kerana kami masih lagi mengumpul barang-barang Alleycats," tuturnya penuh semangat.

Azam 2013

Perpustakaan itu yang berlokasi di Ara Damansara itu bakal menyimpan dan menghidupkan legasi kumpulan Alleycats walaupun setelah 100 tahun kumpulan itu bersara daripada industri seni ini.

"Pada masa itu orang ramai akan berkata, inilah kumpulan yang pernah popular satu masa lalu dan ia akan menjadi motivasi kepada mereka untuk berkarya dan menceburi bidang seni," katanya.

Ditanya mengenai azam tahun 2013, kata David sambil berseloroh, dia tiada azam tahun baharu kerana dunia sepatutnya akan berakhir bulan Disember 2012.

"Setiap tahun adalah sama bagi saya cuma yang membezakannya ialah setiap tahun yang berlalu semakin pantas, pejam celik sudah masuk tahun baharu.

"Harapan saya untuk tahun baharu ini supaya dapat membuat persembahan dengan bagus setiap tahun dan boleh terus bekerja menghiburkan peminat," ujarnya.

Dalam pada itu, Mus ketika ditanya mengenai perancangan tahun baharu mengakui tiada sebarang perancangan yang teliti sepanjang tahun ini hanya memenuhi jemputan persembahan.

"Pada tahun 2013 ini kita tiada perancangan sangat, cuma kita sedang lihat jika ada beberapa projek dengan stesen-stesen TV untuk tujuan promosi kumpulan kami," ujarnya.


Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 10/01/2013

Suara

Suara

Suara
Suara