Current song:

Salam Musik Lali Kritikan


Salam Abadi
SEBUAH gabungan antara muzik moden dan rentak tradisional disulam lirik sarat makna tersirat lalu menghasilkan sebuah komuniti pejuang muzik yang dikenali sebagai Salam Musik.

Pengenalan yang amat ringkas, imej unik dan ideologi muzik untuk rakyat diperjuangkan sejak awal penubuhan kumpulan yang kini sudah mengandungi 10 orang anggota tetap.

Salam Musik barangkali masih asing kepada telinga yang biasa mendengar lagu-lagu bergenre pop, rock atau muzik underground sementelah punk. Ini kerana hala tuju kumpulan itu sebenarnya memperjuangkan muzik bersifat reggae dan santai.

Bercerita mengenai matlamat Salam Musik, ujar vokalisnya, Ashraaf Salam A. Azlan atau lebih dikenali dengan nama Salam, kedua-dua buah album kumpulan itu yang telah diterbitkan memberi fokus yang sama iaitu mencipta muzik untuk rakyat.

"Memandangkan usia kebanyakan ahli kumpulan Salam Musik hampir sama, kami lalu menumpukan kepada elemen unification (kesatuan). Apabila menghasilkan sesebuah album, objektif kami adalah untuk menghasilkan lagu untuk rakyat dan paling tinggi harapan kami semoga seluruh masyarakat mendengar lagu-lagu kami.

"Jika ditanya mengenai anugerah atau apresiasi seperti Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) baru-baru ini, kami bersyukur sekiranya rezeki kami masih ada lagi untuk tahun ini.

"Sejujurnya, kami tidak mengharapkan penghargaan kerana kami ikhlas memperjuangkan lagu untuk rakyat," katanya yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran album kedua Salam Musik berjudul, O di The Bee, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai impak selepas pengiktirafan Album Terbaik AIM 19 tahun lalu itu, tambah Salam, kumpulannya kini lebih dikenali dan muzik mereka lebih kerap didengari umum.

"Apabila lebih banyak pendengar, kami boleh memohon geran daripada kerajaan untuk membuat album ketiga, klip video dan siri jelajah kelak," ujar Salam penuh berharap.

Siri jelajah Eropah

Menghuraikan lebih lanjut perancangan Salam Musik pada masa akan datang, katanya, kumpulan itu bakal menjayakan konsert siri jelajah di beberapa negara di Eropah sebagai persediaan awal menembusi pasaran antarabangsa.

SALAM MUSIK mempertaruhkan album keduanya berjudul O yang berkisar mesej dan muzik yang lebih padu.

"Insya-Allah, pada bulan Julai ini kami akan membuat konsert siri jelajah di beberapa negara di Eropah antaranya London dan Belanda. Alasan kenapa mahu ke sana adalah kerana negara mereka lebih kecil dan pengangkutan di sana, tidak seperti di Amerika Syarikat serta ada rangka perjalanan yang sesuai untuk konsert kami.

"Tambahan, genre kami sangat asing di sana dan mereka lebih tertarik dengan produk yang kami persembahkan walaupun mereka tidak biasa mendengar muzik yang diselitkan dengan bunyi irama tradisional seperti alat muzik gamelan, tabla dan gambus," kata Salam yang pernah membuat persembahan bersama seorang anggota kumpulan itu iaitu Pisang di Belanda pada bulan Julai tahun lalu.

Bercerita mengenai progres Salam Musik, ujar Salam, kumpulannya telah berkembang daripada tiga orang ahli dan kini menjadi 10 anggota tetap, malah kadang-kadang boleh melibatkan sehingga 15 orang ahli pada satu-satu masa.

"Salam Musik ini ibarat sebuah komuniti yang terdiri daripada ahli-ahlinya berlatar belakang berbeza contohnya pelukis, penari dan penulis. Hasrat kami adalah satu - memperjuangkan muzik irama tradisional yang menjadi akar umbi kita tapi diselitkan dalam notasi moden," ujar Salam yang memulakan kerjaya seninya sebagai penari latar sebelum ini.

Selain Salam, kumpulan itu dianggotai oleh Talal Zahnan (keyboard), Eyza Bahra (penyanyi), M. Irhas (trompet), Bulya (dram), Firdaus Aziz (trompet), Ferdaus Nadzir (bass), Ammar Habir (gitar) dan Kamal Razali (gitar).

Sejajar dengan perjuangan muzik rakyat seperti yang disifatkan Salam sebelum ini, album kedua mereka itu juga menerapkan penekanan serupa sepertimana prinsip Salam Musik.

Kata Salam: "Album kedua kami ini berdasarkan kisah sebenar dalam bentuk metafora, diharapkan pendengar boleh menjalinkan makna itu sendiri."

Album O

Memperincikan penjelasan tentang kenapa huruf O dipilih sebagai judul album kedua Salam Music itu, ujar Salam, ia merupakan simbol yang menginterpretasikan banyak maksud, antaranya sifat universal huruf itu sendiri yang berorientasikan kesatuan.

"Simbol O mewakili metamorfosis kehidupan yang bercorak sebuah pusingan, sesebuah bulatan itu tidak akan berhenti berpusing dan akan statik dalam kedudukan yang sama selamanya. Lebih jelas juga O itu mewakili maksud kesatuan dan kebarangkalian infiniti serta diterjemahkan sebagai satu unsur yang bebas," jelasnya.

Sangat mendalam dan mempunyai justifikasi tersendiri yang terkandung makna, begitu juga lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu. Ia mengandungi 12 buah lagu yang dikumpulkan daripada ratusan karya ahli kumpulan Salam Musik sejak tahun 2006.

Kata Salam, mereka tidak akan berhenti berkarya menghasilkan pelbagai lagu setiap hari dan hasilnya tidak mustahil untuk memiliki sejumlah lagu yang sangat banyak untuk dipilih.

"Kami konsisten hasilkan lagu setiap hari. Timbul sahaja idea pasti akan diterjemahkan ke dalam lagu. Oleh kerana koleksi lagu sudah banyak, maka kami hanya perlu memilih yang terbaik untuk dikompilasikan ke dalam sebuah album.

AHLI kumpulan Salam Musik sentiasa berubah-ubah tetapi antaranya terdiri daripada (dari kiri) Payung, Kamal, Djambul, Bulya, Salam, Ammar, Eyza, Ezzad dan Adri)

"Album kedua ini juga sebenarnya lebih kurang sama usianya dengan album pertama kami," katanya yang menyifatkan muzik mereka sentiasa berevolusi mengikut peredaran waktu.

Album tersebut, tambah Salam, sebenarnya dihasilkan tahun lepas namun hanya sempat diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Salammusik pada tahun ini.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu termasuklah Arus, Rela, Kotor, Aku Pelat (feat Zion Dread), Your Place, Penawar (feat Pita Hati & Sayla), Jangan Nangis dan Bangkit (feat Altimet).



Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 16/01/2013

Suara

Suara

Suara
Suara