Current song:

Awasi Taktik Kotor Pelumba Eropah

BARISAN pelumba skuad kebangsaan yang bakal
membuat penampilan pada LTdL 2013.
BARISAN pelumba negara perlu sentiasa berwaspada pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 yang akan membuka tirainya di Kangar, Perlis, Khamis ini.

Ketua jurulatih pasukan lebuh raya negara, Aminuddin Sulaiman berkata, kehebatan anak-anak buahnya dijangka terbantut ekoran taktik kotor pelumba Eropah.

“Anak-anak buah saya perlu bijak membaca corak perlumbaan setiap hari. Memang saya akui ada taktik kotor yang akan digunakan oleh pelumba Eropah.

“Mereka dijangka berpakat antara satu sama lain untuk menyekat kemaraan pelumba Asia,” kata Aminuddin baru-baru ini.

Beliau menyuarakan kebimbangan itu berdasarkan sejarah dalam dua atau tiga edisi sebelum ini apabila pelumba berpotensi negara seperti Anuar Manan sering kali menjadi mangsa permainan penuh muslihat pelumba Eropah.

“Mereka akan membantu antara satu sama lain, selepas melihat pasukan mereka tidak mampu untuk pergi jauh lagi. Saya akui pakatan antara pasukan Eropah memang wujud, namun pelumba kita harus waspada.

“Kami perlu ada taktik dan kena bijak mengatasi masalah ini. Yang paling berkesan adalah pelumba negara perlu mencari jalan untuk meloloskan diri, itu sahaja yang mampu dilakukan. Permainan kotor tidak ada dalam perancangan saya,” katanya.

Aminuddin berkata, pelumba Eropah akan menggunakan kelebihan fizikal yang dimiliki untuk menghimpit pelumba Asia ini kerana mereka tidak mahu berasa malu tewas kepada pelumba yang bukan dari Eropah.

“Hanya satu tolakan sahaja ia mampu untuk mengganggu rentak kayuhan pelumba negara tetapi pelumba saya tidak gentar walaupun ada antara mereka yang kali pertama beraksi pada LTdL tahun ini.

“Susah untuk melihat pelumba basikal berasa takut walaupun mereka kali pertama beraksi dalam sesuatu kejohanan. Sukan ini bukan beraksi di tempat yang dilihat penonton secara beramai-ramai seperti sukan lain,” katanya.

Tambahnya, memang perasaan gementar itu wujud tetapi mungkin pada waktu-waktu tertentu seperti mengambil selekoh terakhir sebelum tamat perlumbaan, jadi kemahiran pelumba perlu digilap bukannya disebabkan ketakutan.

Skuad kebangsaan mempertaruhkan empat pelumba berpengalaman diketuai Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Amir Mustafa Rusli, Muhammad Rauf Nur Misbah, Mohd. Nur Rizuan Zainal, diikuti dua muka baru Zulhilmie Afif Ahmad Zamri dan Yusrizal Usoff.

Seramai 16 pelumba Malaysia akan menyertai edisi ke-18 perlumbaan paling berprestij di Asia yang memegang status Hors ini.

Sebanyak 22 pasukan termasuk lima pasukan profesional akan menyertai LTdL 2013 melibatkan 10 peringkat perlumbaan meliputi jarak sejauh 1,471.4 kilometer.


Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 19/02/2013

Suara

Suara

Suara
Suara