Current song:

Federer Jumpa Nicol Sokong Kempen Skuasy Ke Olimpik

NICOL David bersama Roger Federer ketika
mengadakan pertemuan di Rotterdam, semalam.
ROTTERDAM, Belanda - Selepas mengadakan pertemuan dengan jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David semalam, bintang tenis Switzerland, Roger Federer memberikan sokongan kepada skuasy untuk dimasukkan sebagai acara pada Sukan Olimpik 2020.

Federer, bekas pemain No. 1 dunia dan pemilik 17 kejuaraan Grand Slam bertemu Nicol pada Kejohanan Tenis Dunia di Rotterdam.

Sokongan Federer itu disuarakan hanya beberapa hari selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan mereka akan mengeluarkan sukan gusti daripada Sukan Olimpik, keputusan yang bakal mencetuskan kontroversi.

“Saya mula bermain skuasy dengan menggunakan raket kayu. Ia adalah sukan yang menakjubkan. Saya rasa skuasy berhak berada dalam Sukan Olimpik kerana mereka bukan sahaja menganjurkan jelajah yang hebat, malah memiliki ramai personaliti hebat.

“Secara peribadi, saya sangat gembira melihat perkembangan skuasy kerana saya selalu bermain sukan ini bersama bapa saya setiap hujung minggu," kata Federer selepas kalah kepada pemain Perancis, Julien Benneteau pada suku akhir di Rotterdam.

Nicol, 29, juara dunia enam kali menjadikan Amsterdam sebagai pangkalan latihan sejak beberapa tahun lalu. Bintang Malaysia itu merupakan orang kuat di sebalik usaha membawa masuk skuasy dalam senarai pendek acara Olimpik.

“Mengapa saya rasa skuasy berhak mendapat peluang ? Sukan ini dimainkan di setiap ceruk di seluruh dunia.

“Ia sangat penting buat kempen kami apabila mendapat sokongan Roger Federer. Ia umpama mimpi menjadi nyata buat skuasy.

“Dia sangat menyukai permainan ini dan selalu bermain skuasy, jadi dia mahu melihat satu lagi sukan raket menjadi sebahagian daripada Olimpik.

“Roger sanggup meluangkan masanya untuk menyokong penawaran kami dan usaha yang ditunjukkan itu adalah bonus kepada skuasy, saya harap sokongan yang diberikan oleh personaliti hebat sepertinya mampu memberi impak kepada kami," kata Nicol.


Sumber Dari Utusan
Disiarkan Pada : 17/02/2013

Suara

Suara

Suara
Suara