Current song:

Isu Tolak Aksi Ranjang : Pertahan Prinsip

Fazura
Niatnya hanyalah sekadar mahu menjawab pertanyaan media mengapa tidak lagi kerap berlakon seperti dulu. Namun, tidak pula dia menyangka jawapan jujur itu membuatkan segelintir artis terasa. Jelas Fazura, kelibatnya jarang kelihatan di kaca TV atau filem kerana kebanyakan tawaran yang datang bertentangan dengan prinsipnya.

Tegas pelakon filem Gol dan Gincu ini, seboleh mungkin dia cuba menolak tawaran berlakon yang membabitkan adegan intim serta babak ranjang demi menghormati perasaan ibu tercinta. Baginya, perkara itu lebih kepada prinsip peribadi dan langsung tiada niat untuk menyindir pelakon yang membawakan watak sebegitu.

“Apabila saya memberikan alasan demikian, niat saya hanyalah untuk menjelaskan pada media mengapa saya tidak banyak berlakon sejak kebelakangan ini. Tak sangka pula kenyataan itu disalah tafsir dan dianggap menyindir sesetengah pihak. Memang bukan niat saya untuk menyindir sesiapa,” jelas Fazura ketika ditemui pada majlis pelancaran empat drama terbaru TV3 di Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Kencang terima tawaran berlakon 

Mengulas lanjut permintaannya yang dianggap ‘luar biasa’ oleh mereka yang memilih lakonan sebagai mata pencarian, dalam temubual itu, Fazura turut memperbetulkan kekeliruan yang timbul gara-gara kenyataannya.

“Seperti saya tegaskan sebelum ini, maksud tidak mahu berlakon adegan bersentuhan ialah babak ranjang ataupun babak mesra berlebihan. Bukanlah saya menolak terus babak bersentuhan. Kalau setakat pegang sikit-sikit, ia tidak mengapa. Kalau tak nak berlakon ada babak pegang-pegang, baik saya berhenti saja.

“Saya akui kalau berlakon babak cinta, mustahil tiada babak bersentuhan. Tetapi pengarah kenalah lebih kreatif kerana untuk menunjukkan perasaan cinta, tidak semestinya perlu babak intim,” tegas Fazura lagi.
Walaupun ramai yang beranggapan prinsip itu bakal memberi masalah besar kepadanya, namun pandangan skeptikal itu nyata tersasar apabila tawaran berlakon tetap datang mencurah-curah buat pelakon berusia 29 tahun ini.

“Selepas ini saya akan ke lokasi penggambaran filem Manisnya Cinta yang bakal diarahkan Bernard Chauly. Kemudian saya ada beberapa projek dengan pengarah, Ahmad Idham. Mungkin filem terbaru dengannya akan menyaksikan saya membawakan watak aksi,” ujarnya.

Tolak lamaran mengacara Primadona 

Terdengar juga khabar menyatakan baru-baru ini Fazura dilamar stesen televisyen berbayar Astro untuk mengendalikan sebuah program popular, iaitu Primadona. Kehadirannya dalam program itu nanti dikatakan akan menggantikan seorang daripada empat pengacara sedia ada.

Menjawab desas-desus itu, tanpa berselindung Fazura mengakui perkara berkenaan. Begitupun, ia terpaksa ditolak aktres kelahiran Pekan, Pahang ini.

“Saya akui memang Astro ada melamar saya untuk menjadi seorang daripada pengacara Primadona. Namun saya terpaksa menolaknya kerana bagi saya bidang pengacaraan memang tidak sesuai dengan saya. Walaupun sebelum ini saya pernah menjadi pengacara, tetapi cukuplah sekadar itu saja. Berilah peluang itu pada orang lain,” katanya merendah diri.

Buat peminat Fazura, dia akan muncul bergandingan dengan Shaheizy Sam dalam Kisah Cinta yang mula ditayangkan 9 April ini di TV3. Selain mereka, drama arahan Bahri Umar terbitan BZ2121 Productions ini turut menampilkan pelakon Nadia Aqilah, Ungku Ismail, Nazim Othman dan Fazlina Ahmad Daud.

(Sumber Dari BERITA HARIAN 29/03/2013)
Suara

Suara

Suara
Suara