Kuala Lumpur: Akta Farmasi baru bagi menggantikan empat akta berkaitan ubat, racun dan pendaftaran memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara 15 tahun terhadap syarikat yang mengeluar, mengedar dan menjual ubat tiruan.
Individu yang melakukan kesalahan itu pula boleh didenda maksimum RM2 juta dan penjara 15 tahun.
Rang Undang-Undang Farmasi itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Denda asal RM50,000
Ketika ini syarikat yang melakukan kesalahan itu didenda RM50,000 bagi kesalahan pertama, dan RM100,000 untuk kesalahan seterusnya tanpa hukuman penjara, manakala individu didenda maksimum RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan kesalahan seterusnya denda RM50,000 atau penjara lima tahun.