KUALA LUMPUR - Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akhirnya mengesahkan status mereka sebagai antara beregu campuran terbaik dunia selepas melakar sejarah merangkul kejuaraan Siri Super pertama pada Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.
Kejayaan pasangan muda negara itu kemudian disusuli oleh Datuk Lee Chong Wei, yang menebus kekecewaannya pada Sukan Olimpik London, bulan lalu dengan membawa pulang kejuaraan Terbuka Jepun buat kali ketiga selepas menumbangkan jaguh Thailand, Boonsak Posana dalam final perseorangan lelaki.
Begitupun kecemerlangan Peng Soon-Liu Ying dan Chong Wei gagal diteruskan oleh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, meskipun beregu utama negara itu berdepan peluang terbaik untuk membawa pulang gelaran Siri Super pertama dalam tempoh dua tahun ekoran ketiadaan beberapa pasangan utama dunia.
Turun sebagai calon utama untuk membawa pulang gelaran ekoran kekalahan pasangan utama Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen di pusingan awal, Kien Keat-Boon Heong bagaimanapun akur dengan kekalahan 16-21, 19-21 kepada pasangan Korea, Kim Ki-Jung-Kim Sa-Rang.
Seperti pasangan beregu Korea yang lain, Ki-Jung-Sa-Rang juga terus menjadi masalah besar buat Kien Keat-Boon Heong apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas turut tumpas pada Siri Super Terbuka Malaysia 2012.