JOHOR BAHRU: Sudah pelbagai ikhtiar dibuat hingga akhirnya seorang bapa terpaksa meletakkan gambar serta kisah anak perempuannya yang hilang dipercayai mengikut teman lelaki sejak Mac lalu di laman sosial facebook, kelmarin.
Harapannya hanya satu, iaitu bertemu semula dengan anaknya, Siti Azliza Johan, 27, guru yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi.
Menceritakan kisah kehilangan anaknya, Johan Tahir, 52, yang juga guru berkata, keluarganya mula merasai perubahan pada anaknya itu sejak tahun lalu.
“Kami mengesyaki sesuatu yang buruk menimpanya kerana dia yang kami didik dengan penuh kasih sayang dan pegangan agama tiba-tiba berubah mendadak sehingga sanggup melawan nasihat ibu bapa,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu bermula sejak anaknya berkenalan dengan seorang lelaki berusia 30-an.
Johan berkata, dia pernah bertemu dengan lelaki berkenaan sebelum anaknya itu menghilangkan diri.
“Kami pernah menghubungi telefon bimbitnya, namun talian berkenaan sudah ditamatkan. Dia mungkin sudah menukar nombor bagi mengelak kami mengesannya.