KUALA NERANG - Sebuah keluarga di Felda Lubuk Merbau dekat sini diselubungi insiden menyayat hati apabila anak mereka berusia 13 bulan maut akibat digilis kereta yang dipandu bapa sendiri petang kelmarin.
Kejadian malang kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika Muhammad Uzair Zul, 22, memandu kereta Proton Persona miliknya selepas mengisi petrol di stesen minyak yang terletak bersebelahan rumahnya
Ketika menggerakkan kereta tersebut, Muhammad Uzair tidak menyedari Auni Iylia Aifa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik bermain di sebelah kanan kenderaan yang dipandunya.
Menurutnya, dia langsung tidak menyedari Auni Iylia berada di situ kerana ketika memasuki kawasan stesen minyak tersebut anaknya bermain bersama sepupunya di kedai membaiki motosikal bersebelahan rumahnya.
"Saya hanya sedar apabila terdengar sesuatu seperti terlanggar anak kucing. Apabila menjenguk kepala menerusi tingkap saya terkejut Auni Iylia berada di bawah kereta.
"Saya mengucap panjang melihat anak saya itu sudah tidak bermaya, saya berasa sebak dan sayu namun menerima kejadian itu sebagai takdir Tuhan," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.