KUALA LUMPUR – Rakan-rakan Mohd. Hanafi Abdullah sering tidak kering gusi setiap kali juruteknik itu bergurau dengan menyelitkan lawak yang menggelikan hati.
Mohd. Hanafi, 23, sudah dianggap lebih daripada seorang sahabat oleh rakan sekerja kerana tingkah lakunya yang disenangi ramai.
Bagaimanapun, semua itu hanya tinggal kenangan apabila anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu meninggal dunia selepas badannya tersepit di antara mesin pengangkat struktur bongkah yang sedang bergerak dan landasan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dalam pembinaan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di Jalan Klang Lama di sini semalam.
Mangsa merupakan pekerja sub kontraktor.
Kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika mangsa bersama empat lagi rakan setugas sedang melakukan kerja-kerja penyambungan bongkah landasan.
Rakan sekerja mangsa, Mohd. Ammar Abdullah Sidek, 21, memberitahu, sebelum kejadian, mangsa ditugaskan untuk mengawal wayar pada mesin tersebut bagi memastikannya tidak berpintal manakala dia dan dua lagi rakan sedang melakukan kerja masing-masing berdekatan Mohd. Hanafi.