KOTA BHARU – Tindakan berani seorang pengawal istana mencuri komputer riba milik puteri raja Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri di ruang tamu Istana Mahkota Kubang Kerian di sini bulan lalu mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tengku Amalin, 29, merupakan adinda kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mahadi Mahamad, 35, setelah lelaki itu mengaku bersalah mencuri komputer riba jenama Apple Macbook bernilai RM7,500.
“Mahkamah melihat bukan sahaja kepada barang yang kamu curi tetapi keberanian kamu menceroboh kawasan larangan untuk mencuri barang tersebut. Kamu sepatutnya menerima hukuman yang berat,” kata Mohd. Fazaly Ali.
Mohd. Fazaly Ali mengarahkan Mahadi menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu.