KAHERAH - Sejumlah 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis dekat Kedutaan Amerika Syatrikat (AS) di sini semalam kerana marahkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Media tempatan melaporkan seramai 224 orang cedera sejak keganasan tercetus di ibu negara Mesir itu di sini sejak Rabu lalu kerana membantah filem biadab itu.
Satu tunjuk perasaan besar-besaran kemudian diadakan di seluruh Mesir semalam. Protes tersebut dianjurkan oleh pergerakan Islam terbesar di negara itu, Ikhwanul Muslimin.
Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di bandar Khartoum, Sudan menyerbu Kedutaan Britan dan Jerman ekoran filem tersebut.
Kedua-dua kedutaan itu dibakar dan mengalami kerosakan, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan polis di Yemen menyebabkan seorang meninggal dunia manakala 15 lagi cedera apabila perkarangan Kedutaan AS di negara berkenaan diserbu kelmarin.