Shah Alam: “Kalah tetap kalah, saya menerimanya tanpa mahu memberi sebarang alasan. Vietnam nampak lebih bertenaga dan pantas.” Itu ulasan diberikan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal selepas skuad kendaliannya dimalukan Vietnam 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Ketika peminat bola sepak tempatan yang mengharapkan persembahan mantap menjelang Piala AFF Suzuki, terus kempunan menonton aksi benar-benar meyakinkan dari pasukan negara, Rajagobal tegas menyatakan dia belum panik dengan keputusan itu.
“Saya tak perlu berasa panik lagi. Itali pun kalah sebelum ke Euro,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan. “Aksi persahabatan dan kejohanan sebenar berbeza. Kita masih di landasan terbaik, tak perlu panik dengan hanya satu kekalahan ini.”
Rekod tanpa kalah skuad kebangsaan sepanjang 10 aksi antarabangsa Kelas A di gelanggang sendiri sejak 2009 lebur di hadapan kira-kira 15,000 penyokong.