Current song:

Hattan mahu kembalikan zaman kegemilangan dunia muzik

Hattan & Ziana Dilantik Juri tetep

Suatu ketika dulu dia begitu benci dengan program realiti. Walaupun pernah menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap untuk sebuah rancangan realiti nyanyian, namun selepas melihat impak negatif yang timbul, terutama membabitkan kebanyakan pemenangnya, dia terus berhenti berharap.

Bagi Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, untuk apa program realiti wujud jika tahapnya masih pada takuk lama, serta tidak memberi sebarang perubahan besar terhadap industri hiburan. Apatah lagi dengan lambakan artis yang umpama hidup segan mati tak mahu.

Lebih mengecewakannya apabila pemenang program seperti itu kebanyakannya tidak menjadi. Jika ada yang berjaya pun, jumlahnya boleh dikira dengan jari. Justeru situasi seperti itulah membuatkan penyanyi Memburu Rindu ini sudah tidak menaruh sebarang kepercayaan lagi terhadap penerbitan program realiti.
Begitupun rajuk Hattan tidak lama. Dengan harapan untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan industri nyanyian seperti yang pernah dia lalui suatu waktu dulu, bapa tunggal kepada seorang anak lelaki ini kembali mewarnai dunia program realiti apabila ditugaskan menjadi juri tetap program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua.



Tidak berseorangan, sebaliknya amanah itu dipikul bersama seorang lagi penyanyi terkenal, Ziana Zain.

Pengumuman perlantikan dua artis itu dilangsungkan pada majlis khas di Shah Alam, kelmarin. Selain itu, tetamu juga diperkenalkan dengan tenaga pengajar lain seperti Fidie Sani selaku jurulatih kecergasan, Profesor Izzi Ali (penasihat motivasi) dan Faizal Uzir (pengarah muzik).

Jangan bunuh motivasi peserta
Dikenali sebagai artis yang lantang bersuara dan tidak takut melahirkan pendapat, Hattan turut menegur prosedur yang mewajibkan peserta menyanyikan lagu yang diberikan tenaga pengajar, bukannya atas kehendak pelajar itu sendiri. Baginya, perbuatan itu akan membunuh motivasi dan tidak menepati objektif mencari penyanyi pelapis, seperti diharapkan.

"Ini pertandingan dan jika peserta disuruh menyanyikan lagu yang tidak sesuai dengan jiwa dan kehendak mereka, bagaimana mereka boleh berikan hasil terbaik? Bayangkan Ziana yang sudah biasa menyanyikan lagu pop, tiba-tiba kita suruh dia menyanyikan lagu metal, tentu dia tidak suka," ujarnya sambil memberikan contoh.

Sambil menyifatkan konsep serba boleh dalam program realiti sebagai mengarut, Hattan berkata, budaya itu perlu ditukar segera.

"Bukan tidak boleh menjadi penyanyi versatile, tapi bukan untuk program realiti. Ini bukan persembahan makan malam yang memerlukan mereka menyanyikan pelbagai genre lagu. Saya berkata begini kerana saya mahu mengembalikan semula zaman di mana artis berjaya menjual album beratus-ratus ribu unit, seperti pernah kami kecapi sebelum ini. Saya mahu melahirkan artis seperti itu.

"Sekarang ini, kita lihat jualan album memang kurang memberangsangkan. Pernah saya bertanyakan jualan album seorang artis ini dan saya dapati, angkanya hanyalah seratus keping. Ini memang menyedihkan," kata Hattan.

Finalis lebih berbakat

Sementara itu, 16 peserta yang dianggap terbaik daripada 2,500 calon yang hadir ke sesi uji bakat sudah pun dipilih. Mereka akan melalui satu lagi 'blind audition' bagi melayakkan mereka menjadi 10 atau 12 peserta terbaik.

Mengulas pemilihan 16 peserta itu, penerbit eksekutifnya, Muhamad Sufian Isa, berkata mereka yang terpilih kali ini lebih baik daripada keseluruhan peserta musim lalu.

"Saya berkata begitu berdasarkan kualiti yang ada pada mereka. Mungkin ia disebabkan kebanyakan daripada mereka belum pernah menyertai mana-mana program realiti sebelum ini," katanya.

Pada musim kedua, hadiah buat si juara turut bertambah apabila pemenangnya akan menerima RM100,000 berbanding RM50,000 pada musim lalu manakala naib juara pula menerima RM30,000 (berbanding RM10,000).

Konsert pertama Vokal Bukan Sekadar Rupa akan disiarkan secara langsung dari Seri Pentas 2, Shah Alam, mulai malam ini, jam 9.30 malam.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/24
Dipetik Dari Bharian
Suara

Suara

Suara
Suara