Current song:

Kebangkitan semula Benjy


PERTEMUAN Kosmo! bersama aktor Benjy untuk sesi fotografi Hari Raya Aidiladha yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini berjalan dengan cukup lancar.

Pertama kali menatap wajah lelaki yang pernah didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24
gram pada Mac, 2010 dan ditahan selama dua tahun di penjara memberi pandangan yang berbeza.
Wajah dan tubuh Benjy semakin susut sejak dibebaskan tanpa syarat pada Januari tahun ini.

Penampilannya nampak meyakinkan, kemas dan segak berbaju kemeja serta berseluar jean.
Dia juga cukup ramah menegur orang di sekelilingnya bagai tiada sejarah hitam yang pernah berlaku kepadanya. Senyuman juga sentiasa tersimpul di bibir tanda bersedia menghadapi khalayak.

“Saya okey, Alhamdulillah sihat. Tengoklah gambar saya dulu dan sekarang, sangat berbeza. Berat ketika dipenjara sebanyak 89 kilogram, sekarang turun 74 kilogram dan saya masih dalam usaha untuk mengurangkan berat badan sebanyak mungkin,” katanya sambil menunjukkan gambar pada kad pengenalan lama dan terbaharu dirinya.
                                                                                                                             Baca Selanjutnya



Selain saiz badan yang berubah jelas, Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim selepas dibebaskan dari penjara masih sama seperti dahulu, bahkan keyakinan dirinya cukup tinggi meskipun terpaksa berdepan dengan gelaran bekas banduan.

“Keyakinan diri saya seperti biasa, saya tidak disabitkan kesalahan dan dibebaskan tanpa syarat. Maknanya, saya tidak bersalah. Mungkin disebabkan saya pernah tinggal di penjara buat sementara waktu, orang tetap akan label saya sebagai bekas banduan.
“Berjaya mengharungi segala kesusahan ketika di penjara bermakna saya boleh harungi segala kesukaran hidup di luar penjara.

“Saya tidak boleh elak persepsi masyarakat. Bukannya saya boleh tutup mulut orang. Itu hak masing-masing dan bagi saya persepsi negatif itu bukan satu masalah yang besar,” balasnya.
Menurut Benjy, terlalu banyak hikmah daripada apa yang berlaku terhadap dirinya. Selepas dirinya ditahan pihak berkuasa dan hidupnya hanya bertemankan jeriji besi serta tembok batu, dia mengaku bagai baru tersedar daripada lamunan hidup glamor.

“Selepas saya ditahan, saya dapat kenal pasti mana kawan yang benar-benar ikhlas dan mana kawan yang hanya temankan saya untuk berseronok sahaja. Saya akui, sebelum ini saya tersalah pilih kawan.
“Sekarang saya amat berhati-hati dalam berkawan. Syukur, kawan-kawan yang ikhlas masih setia di belakang saya sehingga hari ini. Kini saya juga tahu apa yang saya mahukan dalam hidup dan tidak akan sia-siakan orang yang selalu menyokong saya terutamanya keluarga,” ucapnya.

Apabila ditebak soalan apakah yang berada dalam fikirannya apabila berada dalam penjara, dia terdiam dan berfikir sejenak. Air matanya tiba-tiba jatuh tanpa kawalan mengenang pengalaman di penjara.
Kata Benjy, anak lelaki tunggalnya, Fridauz Juan Benjamin yang kini berusia enam tahun tidak terlepas daripada fikirannya walaupun sesaat.

“Selama tiga tahun anak saya sudah biasa tidur di atas dada saya setiap malam, jadi apabila saya berada dalam penjara saya sering tertanya-tanya, bagaimana keadaan dirinya, rindukah dia pada saya dan apabila saya keluar nanti, masih ingatkah dia pada papanya ini.
“Alhamdulillah, selepas saya dibebaskan, anak saya masih mengenali saya dan sekarang masa saya hanya untuk mencari rezeki selebihnya diperuntukkan untuk anak serta keluarga terutamanya ibu (Azean Irdawaty) yang sedang bertarung dengan penyakit kanser,” ujarnya.

Hak penjagaan anak
Bercakap tentang status dirinya, Benjy tanpa berselindung memberitahu dia sudah bercerai dengan Safiya Stephanie yang merupakan seorang mualaf, tetapi ia masih dalam proses mencari jalan penyelesaian di mahkamah syariah.

Soal penjagaan anak pula jelas Benjy, dia dan bekas isterinya itu bersetuju untuk hak penjagaan bersama.
“Hubungan saya dan bekas isteri masih baik, kami tidak berdendam. Bagi saya, bekas isteri sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cukup baik, anak juga dijaga bersama. Lima hari seminggu anak dijaga oleh dia, manakala saya pada hujung minggu.

“Saya amat berharap apa yang berlaku antara kami tidak menjejaskan emosi Fridauz, sebab itu saya banyak menghabiskan masa bersamanya seperti keluar beriadah atau membawanya berjalan-jalan,” katanya.
Diaju persoalan tidak tertekankah dengan segala dugaan yang datang kepadanya dan terpaksa menghadapinya seorang diri tanpa seorang isteri di sisi, Benjy lalu menyusun jawapannya.

Sumber Dari Kosmo 
Suara

Suara

Suara
Suara