Current song:

Pemain Kita Tenggelam Hari Kedua


KUALA LUMPUR - Pada hari yang menyaksikan kebanyakan pemain mula mendapat rentak dan melakukan catatan memberangsangkan, dua wakil kita, Danny Chia dan Shaaban Hussin tenggelam pada pusingan kedua Kejuaraan Golf CIMB Classic di The Mines, semalam.

Paling mengecewakan, Danny yang jatuh mendadak kedudukannya ke perkongsian tangga ke-41, selepas hambar dengan catatan empat atas par 75.

Selepas cemerlang melakukan 66 pukulan untuk berkongsi tangga ketujuh bersama enam pemain lain termasuk Tiger Woods kelmarin, nama pemain No. 1 negara itu terus lenyap dari kelompok teratas.

Danny tampak hilang punca, ditimpa tiga double bogey pada tiga lubang iaitu keempat, kelima dan ke-12.

"Sukar untuk saya nak terangkan. Saya membuat beberapa pukulan buruk, cuba untuk menebusnya tetapi yang sebaliknya berlaku. Dalam dua hari ini, saya masih tiada bogey, tetapi sudah kena tiga double bogey.

"Inilah hari yang mana saya gagal mengawal fokus dan segalanya tidak menjadi. Mungkin saya terlalu memaksa diri," keluh Danny.

Meskipun persembahan longlai semalam memberi kesan buruk terhadap peluangnya untuk cuba menyamai pencapaian tahun lalu, iaitu perkongsian tangga ke-13, tegas Danny, perjuangan tetap diteruskan.

"Saya akan melakukan apa yang terdaya untuk bangkit. Peluang untuk menang mungkin sudah tertutup, tapi kalau dapat menempatkan diri pada posisi seperti tahun lalu, itu sudah cukup menggembirakan," jelasnya.

Tiada tanda peningkatan prestasi daripada Shaaban semalam, dia bergelut untuk mencatat dua atas par bawah 73 dan berkongsi tangga ke-46 yang merupakan kedudukan tercorot bersama dua lagi pemain.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27
Dipetik dari UTUSAN

Suara

Suara

Suara
Suara