LEONEN (kanan) dan Mohagher (kiri) menandatangani perjanjian rangka kerja untuk keamanan manakala perantara Malaysia, Tengku Abdul Ghafar Tengku Mohamed duduk di bahagian tengah di Istana Malacanang, Manila semalam.
_________________________
MANILA - Ratusan penduduk bersorak gembira apabila pemerintah
Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani
perjanjian rangka kerja untuk keamanan yang berharap akan menamatkan
konflik selama 40 tahun di wilayah selatan negara itu.
Penduduk itu bersorak di luar Istana Malacanang semasa perjanjian tersebut ditandatangani.
Ribuan anggota MILF mengangkat senjata api di sebuah kem di wilayah
Maguindanao 960 kilometer dari sini sebagai tanda menghormati majlis
menandatangani perjanjian tersebut.
Beberapa wanita yang memakai tudung berwarna-warni menangis apabila
Pengerusi MILF, Murad Ibrahim menggambarkan perjuangan selama 40 tahun
itu sebagai penghargaan terhadap para pejuang yang terbunuh.
"Kami mengabdikan rangka perjanjian ini sebagai penghargaan kepada
para pemimpin kami yang terbunuh. Mereka mengorbankan nyawa untuk Allah
dan Bangsamoro," kata Murad.
Perjanjian itu ditandatangani antara perunding damai pemerintah, Marvic Leonen dan Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal.
Sementara itu, seorang pensyarah kajian Islam, Profesor Julkipli Wadi
dari Universiti Filipina berkata, penduduk Moro gembira dengan
perjanjian itu.
"Namun, kami perlu peka dengan cabaran pada masa depan," tambahnya.
Upacara menandatangani perjanjian itu turut disaksikan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden, Benigno Aquino III.
Perang di selatan Filipina meragut lebih 150,000 nyawa sejak awal
1970-an dan pelbagai perjanjian damai yang dicapai sebelum ini, sama ada
tidak membuahkan hasil atau tidak dapat dilaksanakan.
Perjanjian berkenaan dianggap sebagai 'perjanjian induk' yang
menggariskan rangka tindakan ke arah pembentukan entiti baharu bagi
Bangsamoro untuk menggantikan Wilayah Autonomi yang sedia ada di wilayah
Islam Mindanao.
Perjanjian itu juga akan membuka jalan kepada usaha membangunkan
semula Mindanao, yang sejak empat dekad lepas, mengalami pelbagai
kerugian termasuk daripada segi prasarana, pelaburan dan masa depan.
Menurut laporan Bernama, perjanjian itu dilihat mampu
mengurangkan dengan ketara kegiatan keganasan yang mencemari selatan
Filipina sejak beberapa dekad lepas sekali gus mewujudkan suasana lebih
kondusif bagi pelaburan dan pembangunan, di samping menyumbang kepada
keselamatan menyeluruh di Filipina, termasuk di wilayah berkenaan.
Perjanjian itu antara lain, menyebut bahawa Bangsamoro akan diwujudkan untuk menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao.
Ia menyatakan bahawa Bangsamoro akan mendapat bahagian yang adil dan
saksama daripada hasil yang dijana melalui kerja cari gali, pembangunan
atau penggunaan sumber asli yang diperoleh dari semua kawasan/wilayah,
tanah atau air yang diliputi dan terletak di bawah bidang kuasa
Bangsamoro, sejajar dengan formula yang dipersetujui kedua-dua pihak. -
Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16
Diprtik Dari Kosmo