Current song:

140 Polis, Orang Awam Dibunuh Di Sao Paulo


Sindiket dadah Brazil bertindak balas terhadap operasi pihak berkuasa 

Sao Paulo: Sekurang-kurangnya 14 orang dibunuh di bandar terbesar Amerika Selatan sejak dua minggu lalu berpunca daripada keganasan sindiket dadah, kata Jabatan Keselamatan Awam Sao Paulo.
Pembunuhan di Sao Paulo dilaporkan mulai meningkat pada bulan September. Pada bulan itu saja, 144 orang terbunuh, lapor jabatan terbabit.

Keseluruhan kes bunuh di bandaraya itu dilaporkan mencapai 982 sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. Mangsa termasuklah 90 anggota polis, kebanyakan mereka ditembak mati penyerang ketika tidak bertugas.

Seorang pegawai Jabatan Keselamatan Awam berkata, pembunuhan polis diarahkan oleh ketua kumpulan penjenayah yang dipenjarakan, First Capital Command berikutan operasi pihak berkuasa terhadap sindiket dadah.

Dalang serangan 

First Capital Command adalah antara kumpulan penjenayah terkenal di Brazil. Berpusat di penjara negeri Sao Paulo, kumpulan terbabit didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan terhadap polis, bangunan kerajaan, bank dan bas awam pada 2006.

Serangan berkenaan disusuli dengan tindakan balas anggota polis di kawasan penduduk miskin menyebabkan lebih 200 orang maut.

Dengan keganasan terbaru itu meletus, kedai dan sekolah di beberapa daerah Sao Paulo ditutup awal sejak minggu lalu berikutan khabar angin merebak bahawa kumpulan terbabit mengenakan perintah berkurung.

“Disebabkan keganasan meningkat di zon selatan bandaraya itu, pengarah sekolah memutuskan kakitangan pendidikan dan pelajar berada di rumah untuk keselamatan mereka,” kata penolong pentadbiran sekolah latihan profesional, Eliane Valerio de Souza.

Pihak berkuasa Sao Paulo minggu lalu memberitahu, ketua First Capital Command menggunakan telefon bimbit yang diseludup untuk mengarahkan serangan.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12
Dipetik Dari BERITA HARIAN

Suara

Suara

Suara
Suara