Current song:

Anugerah Selepas 24 Tahun


AKTRES Sherry Merlis akhirnya dikurniakan anugerah selepas 24 tahun bergelar anak seni di Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Kemenangan pertama kali dalam hidupnya itu diperolehi menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama. Anugerah tersebut merupakan hasil lakonan berkesannya menerusi drama Di Telapak Kaki Bonda arahan Kabir Bhatia yang turut memenangi kategori Drama Terbaik.

Bertemu dengan Sherry yang kini berusia 42 tahun usai majlis anugerah berlangsung, dia langsung tidak menjangkakan pulang dengan anugerah pada tahun ini.

"Memang tidak sangka langsung akan menang, apabila nama saya disebut saya hanya terpaku dan sangat terkejut. Jujurnya, saya datang hari ini hanya untuk memeriahkan majlis sahaja," ujar isteri kepada penyanyi Ash.

Apabila anugerah tersebut sudah berada dalam genggamannya, Sherry mengakui dia cukup puas dan tidak kecewa meskipun anugerah itu diperolehi selepas 24 tahun bergelar pelakon.

"Ini anugerah pertama dalam hidup saya selepas 24 tahun bekerja sebagai pelakon. Saya tidak pernah idam diberi anugerah kerana saya menganggap lakonan merupakan satu kerjaya.

"Diiktiraf sebegini merupakan satu bonus. Tidak wujud rasa kecewa kerana lambat dapat anugerah. Rasanya di Malaysia ramai pelakon hebat, tetapi bukan semua berpeluang menerima anugerah, mungkin tahun ini sudah rezeki saya. Kalau ikutkan semua calon yang bertanding, semuanya yang terbaik," katanya yang menewaskan pelakon Rosnah Mat Aris, Maimon Talib, Fadilah Mansor dan Norish Karman dalam kategori tersebut.

Sherry yang baru sahaja melahirkan anak ketiganya yang juga pertama dalam perkahwinan keduanya bersama Tengku Shafiz-rullah Tengku Mohd. Shahid atau Ash, 29, Tengku Kaseh Anaqah yang kini berusia empat bulan menyifatkan anugerah yang diterima merupakan rezeki buat anak perempuan pertamanya itu.

"Boleh kata juga anugerah ini sebenarnya rezeki untuk anak perempuan pertama saya. Selepas melahirkan anak, rezeki saya semakin banyak.

"Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berehat selepas bersalin. Apabila anak berusia dua bulan, saya sudah kembali bekerja seperti biasa," jawabnya.

Mengimbas kembali watak yang dibawakan dalam drama Di Telapak Kaki Bonda, beritahu Sherry, dia memegang watak orang tua.

"Sebenarnya ini merupakan drama kelima saya dengan Kabir Bhatia. Sebaik sahaja dapat skrip drama Di Telapak Kaki Bonda, saya cukup suka kerana skripnya sangat menarik.

Rezeki anak. Sherry Merlis bersama suaminya, Ash dan anak perempuan sulung mereka, Tengku Kaseh Anaqah.

"Kabir menawarkan saya menjadi orang tua, jadi 24 jam sepanjang penggambaran berlangsung saya harus beringat yang saya orang tua. Cara bertutur, cara berjalan dan cara meluahkan perasaan semuanya harus dikawal supaya saya tidak menjadi diri saya sendiri.

"Memang mencabar dan agak meletihkan, tetapi apabila melihat hasilnya di skrin televisyen, saya cukup berpuas hati. Kemenangan ini menambahkan lagi semangat saya untuk bekerja dengan lebih baik pada masa akan datang," luahnya yang mula berlakon pada tahun 1989 menerusi filem Part-Time ketika berusia 19 tahun.

Pilihan terbaik ASK 2012

Sementara itu, bercakap mengenai ASK 2012, boleh dikatakan tahun ini anugerah tersebut mampunyai pencalonan yang mantap serta pemenang yang memang layak menerima pengiktirafan.

Selain Sherry dan Namron yang membawa pulang untuk kategori Pelakon Pembantu Drama Terbaik, tahun ini cukup mengejutkan apabila Ruminah Sidek dan Abu Bakar Omar dinobatkan sebagai Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik Drama.

Mak Mah yang menang menerusi drama Parit Jawa telah menewaskan barisan aktres yang lebih muda seperti Aida Aris, Lisdawati, Nabila Huda dan Umie Aida.

Aktor Abu Bakar Omar yang dinobatkan sebagai pelakon lelaki terbaik telah menewaskan barisan pelakon seperti Ridzuan Hashim, Zaidi Omar, Eman Manan dan Ku Haris Ku Mohamed.

"Ini merupakan anugerah ketujuh dalam hidup saya. Karakter saya dalam drama Gincu Ayah sebagai lelaki lembut telah membuatkan saya menang.

"Sebagai pelakon saya bekerja seikhlas hati dan minat bukan kerana di penghujung saya mahukan anugerah," tuturnya yang berniaga menjual ikan sebagai kerja tetapnya.

Aktres Maya Karin yang memegang watak Izzah menerusi filem pecah panggung Ombak Rindu sudah dijangka membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem.

Meskipun sebelum ini pernah menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM-21), namun hanya di ASK 2012 Maya dapat menikmati saat kemenangannya itu.

"Sebelum ini ketika menang di FFM-21 saya tidak ada di Malaysia, jadi boleh dikatakan anugerah ASK 2012 merupakan anugerah pertama yang saya dapat nikmati sepenuhnya.

Gandingan Rosyam Noor sebagai Kapten Hook dan Erra Fazira sebagai Snow White menjadi tarikan majlis.

"Saya tidak jangka untuk menang sebab bagi saya filem Songlap juga sebuah filem yang sangat menarik dan merupakan saingan terdekat saya.

"Walaupun telah menang anugerah, Maya tetap akan menjadi Maya yang sama sejak lapan tahun yang dahulu," katanya yang bakal menjalani penggambaran sebuah filem romantik komedi pada Disember ini.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem, anugerah itu dimenangi oleh aktor Shaheizy Sam menerusi filem Songlap. Bertambah manis, aktor Syafie Naswip yang berlakon sebagai adiknya dalam filem tersebut turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem.

"Ini merupakan rezeki Allah untuk semua orang yang terlibat dalam filem Songlap. Saya pilih Faizal Hussein untuk menang kategori ini sebab lakonan hebatnya dalam filem Bunohan," katanya yang susut sedikit berat badannya kerana berdiet.

Pengarah Kabir Bhatia yang memenangi kategori Pengarah Terbaik Drama dan drama arahannya Di Telapak Kaki Bonda dinobat sebagai Drama Terbaik tidak menjangkakan menang.

"Memang tidak sangka. Sebenarnya saya ada masalah untuk memahami bahasa Melayu, tetapi dengan bantuan penulis skrip saya dapat memahami sesebuah babak.

"Sebab itu saya hanya bekerja dengan pelakon yang saya sudah percayai sahaja," beritahunya.

Pengarah filem Bunohan, Dain Said memenangi kategori Lakon Layar Terbaik Filem dan filem tersebut dipilih sebagai Filem Terbaik di ASK 2012 menewaskan filem lain seperti Songlap, Ombak Rindu, Libas dan 7 Petala Cinta.

"Filem Bunohan dihargai di luar termasuk telah tersenarai dalam anugerah Oskar ke-85. Bagaimanapun dihargai di negara sendiri lebih bermakna buat saya dan semua yang terlibat dalam filem Bunohan," tuturnya.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12
Dipetik Dari KOSMO

Suara

Suara

Suara
Suara