Current song:

Apa Sudah Jadi Rajagobal ?

RAJAGOBAL (dua dari kanan) berbincang sesuatu dengan pengurus
pasukan, Datuk Subhan Kamal (kiri) selepas skuad Harimau Malaya
tewas 0-3 kepada Singapura semalam.
SKUAD ‘eksperimen’ pun tewas, inikan pula ujian sebenar. Ternyata, reputasi selaku juara bertahan Piala Suzuki AFF hanya tinggal sejarah buat Malaysia apabila gagal dalam ujian sulung kempen kali ini sebaik ‘dikerjakan’ Singapura 0-3 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Dua gol ledakan kapten Singapura, Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 serta jaringan lewat Aleksandar Duric pada minit ke-75 sudah cukup untuk menyedarkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal supaya kembali 'berpijak di bumi nyata' andai mahu kekal bergelar juara kali ini.

Apa yang pasti, alasan Rajagobal yang kononnya sekadar tampil dengan skuad ‘eksperimen’ ketika melakar beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam siri persahabatan sebelum ini benar-benar terjawab malam tadi apabila anak-anak buahnya masih ‘kekeringan idea’ memburu jaringan.

Lebih mengecewakan, ribuan penyokong di stadium dilihat menjerit melaungkan ‘Rajagobal, apa yang engkau buat?’ sebaik perlawanan berakhir sebagai tanda protes terhadap persembahan hambar skuad negara malam tadi.

Biarpun tidak seteruk seperti mana dibelasah 1-5 Indonesia dalam edisi dua tahun lalu, apa lagi alasan yang cuba diterjemahkan Rajagobal kali ini memandangkan Harimau Malaya sepatutnya tampil memelihara maruah selaku tuan rumah edisi kali ini.

Harimau Malaya terlebih dahulu bermula garang seawal minit ketujuh namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya menggelecek beberapa pemain pertahanan Singapura berjaya ditepis penjaga gol lawan, Mohamad Izwan Mahbud.

Sorakan lebih 50,000 penyokong Harimau Malaya sekali lagi bergema pada minit ke-19 namun rembatan Norshahrul sekadar melambung tinggi sebelum Mohamad Izwan sekali lagi berjaya menangkap kemas sepakan percuma kapten Malaysia, Safiq Rahim empat minit kemudian.

Di sinilah ‘malapetaka’ Harimau Malaya bermula. Keghairahan tuan rumah memburu gol awal akhirnya dihukum Shahril yang tenang menyempurnakan hantaran jauh Shaiful Esah Nain pada minit ke-32 untuk gol pembukaan Singapura.

Shahril sekali lagi menjadi ‘duri dalam daging’ Malaysia apabila menggandakan kelebihan Singapura lima minit kemudian.

Gol itu berpunca daripada kesilapan bakal ‘Raja Sehari’, Khairul Fahmi Che Mat yang gagal menumbuk kemas sepakan percuma Shahdan Sulaiman sebelum percubaan Mohd. Fadhli Shas mengeluarkan bola daripada atas garisan gol juga tidak menjadi apabila pantas disambar Shahril untuk gol kedua Sang Singa.

Biarpun kemasukan pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sebaik babak kedua bersambung dilihat menyuntik corak serangan Harimau Malaya, ketumpulan jentera penyudah negara masih mengundang amarah ribuan penyokong di stadium dan juga di rumah apabila berkali-kali mensia-siakan peluang keemasan bagi merapatkan kedudukan.

Peluang terbaik Malaysia memecah kebuntuan sekali lagi hadir pada minit ke-69 namun Safee Sali gagal menyambut hantaran Wan Zack biarpun Izwan sudah tertewas.

Percaturan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic memasukkan Duric selaku pemain gantian juga menjadi apabila kuda tua itu tenang menanduk masuk gol ketiga lawan pada minit ke-75 hasil kelam-kabut di depan pintu gol negara sekali gus melengkapkan mimpi ngeri Harimau Malaya.

Apa yang pasti, anak-anak Rajagobal wajib bangkit ketika berdepan Laos, Rabu ini jika tidak mahu ‘berputih mata’ ditunjukkan jalan keluar lebih awal kali ini.

Ia begitupun tidak semudah dijangka memandangkan Laos berjaya mengikat naib juara edisi 2010, Indonesia 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B petang semalam.

Gol-gol Laos dalam perlawanan itu diledak menerusi sepakan penalti Khampheng Sayavutthi pada minit ke-26 dan Keoviengpheth Lithideth (79) sementara Raphael Guillerm Maitimo dan Vendry Ronaldo Mofu pula masing-masing mencetak satu gol buat Indonesia pada minit ke-42 dan 89.

Kedua-dua pasukan juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam melayangkan kad merah kepada penjaga gol Garuda, Endra Prasetya dan juga pemain Laos, Sopha Saysana pada pertengahan babak pertama gara-gara kekasaran melampau terhadap pemain lawan.


Berita Dipetik dari Kosmo
Bertarikh 26/11/2012

Suara

Suara

Suara
Suara