Current song:

Hamil Anak Lelaki, Irma Hasmie Kuat Makan

IRMA tampil bersama suaminya, Redza buat
pertama kali di hadapan media selepas
disahkan hamil lima bulan.
KIRA-KIRA empat bulan lagi pelakon berwajah manis, Irma Hasmie bakal melahirkan zuriat sulung hasil perkahwinannya dengan Redza Syah Azmeer Datuk Redzuan.

Tidak lagi mengalami alahan yang teruk seperti tiga bulan pertama kandungannya, kini pelakon filem Cinta Fotokopi itu mengakui selera makannya semakin bertambah sehingga menyebabkan berat badannya naik dengan banyak.

Atas sebab itu, ungkap Irma, 30, dia terpaksa bersedia untuk menurunkan berat badannya selepas melahirkan anak kelak.

“Insya-Allah doktor beritahu jantina bayi saya kemungkinannya adalah lelaki. Saya dan suami tidak kisah jantina apa, yang penting ia terbaik daripada Allah untuk kami sekeluarga. Jangkaan lahir adalah pada bulan Mac tahun depan.

“Berat badan saya agak mendadak naik iaitu dari 57 kilogram, sekarang sudah 68 kilogram. Tembam sangat saya sekarang ini, justeru kena kuatkan diri untuk kawal pemakanan,” ujarnya yang masih lagi mengacarakan program Assalamualaikum.

Belum lagi menyediakan kelengkapan bayi sepenuhnya, ujar Irma, dia dan suami masih membeli-belah barangan keperluan bayi dan berharap apabila kandungan mencecah tujuh bulan, sudah banyak kelengkapan bayi yang sudah tersedia.

Menurut Irma lagi, suaminya sangat prihatin dengan keadaan dirinya yang berbadan dua, malah akan sentiasa menemaninya ke majlis-majlis tertentu.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah yang beri kami banyak kasih sayang. Dia juga sentiasa buat saya rasa dekat pada agama,” ujarnya.

IRMA yang bakal menimang cahaya mata lelaki mengalami kenaikan berat badan sebanyak 11 kilogram.

Tidak takut

Ditebak dengan soalan sama ada dia takut melihat gambar dan visual bayi-bayi rakyat Palestin dibunuh Zionis yang banyak dimuat naik di internet dan kaca TV, Irma tenang memberikan jawapan.

“Lebih baik tengok daripada melakukan perkara-perkara yang tidak membawa manfaat apa-apa.

“Insya-Allah, daripada sudut positif kesannya, anak kita akan cintakan keamanan dan bencikan kezaliman,” jelasnya yang kini berehat daripada sebarang aktiviti lakonan sementara menunggu kelahiran anak sulungnya itu.

Dia bagaimanapun tetap sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti pengacaraan, duta dan tugasnya sebagai naib pengerusi Usrah Fitrah iaitu gabungan beberapa penggiat seni tanah air termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik demi mendalami ajaran Islam.

Usrah Fitrah yang turut disertai rakan-rakan artis seperti Heliza, Yatt Hamzah dan Diana Amir itu juga sekali gus mengadakan acara-acara amal dan berbentuk kemasyarakatan untuk menjalin ukhuwah dan mendekatkan diri dengan orang ramai serta golongan kurang bernasib baik atas nama ibadah.


Berita Dipetik dari Kosmo
Bertarikh 26/11/2012

Suara

Suara

Suara
Suara