Current song:

Tak mahu dikenali kerana kontroversi


BARU lima bulan berlakon, nama pendatang baru meningkat naik, Emma Maembong terus diperkatakan ramai. Semuanya gara-gara gosip dan kontroversi yang melanda dirinya sejak terbabit dalam bidang hiburan tanah air.

Selepas didakwa sebagai ‘kaki propa’ kerana dikatakan gagal menghadiri sesi fotografi dengan sebuah akhbar tempatan, penyebaran gambar panasnya dengan teman lelaki semakin memburukkan keadaan.

Pada majlis pelancaran drama bersiri 24 episod, Cinta Itu Milikku yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, sekali lagi kelibat pelakon yang juga pemilik nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail dan berdarah kacukan Melayu-Scotland ini mencuri tumpuan pihak media.

Sekalipun diasak dengan pelbagai soalan panas, Emma yang mewarisi bakat melukis daripada bapanya yang juga pelukis terkenal, Ismail Embong ternyata tidak cepat melatah dan tetap tenang menjawab setiap soalan yang dikemukakan pihak media.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku tetapi dia reda itulah harga yang perlu dibayar sebagai anak seni.
“Terus terang, saya tidak mahu nama naik dalam bidang hiburan sebab cerita kontroversi. Saya lebih suka bermula dari bawah dan orang kenal saya sebab bakat yang dipertaruhkan dan bukan sebab penyebaran gambar itu.



“Ayah juga tahu saya sudah ada teman lelaki tapi dia tak masuk campur pun perkara itu. Walaupun ibu bapa sudah bercerai tapi hubungan saya dan sepuluh adik beradik lain sangat rapat. Mujur ayah dan anggota keluarga lain boleh menilai apa yang baik dan buruk kerana saya bukannya gadis yang suka bersosial atau liar seperti gosip di internet itu.

“Saya berlakon pun selepas ayah beri ‘lampu hijau’ kerana saya hanya duduk rumah dan kerja saya hanyalah melukis. Justeru, saya tidak mahu mensia-siakan kepercayaan ayah dan sangat berharap orang berhenti daripada memperkatakan cerita silam kerana perjalanan seni saya masih jauh lagi,” katanya.

Emma yang mula diperkenalkan pengarah terkenal, Erma Fatima menerusi drama terbitan produksinya yang juga siri komedi Facebook Ustazah Shamsiah untuk stesen TV AlHijrah mengakui bertuah kerana diberikan kepercayaan memegang watak utama dalam drama walaupun masih baru.

“Sebenarnya, Mama Erma sudah kenal lama dengan kakak saya sebab itu saya tidak menolak untuk mencuba bakat berlakon dalam drama arahannya.
Baca

“Dalam Facebook Ustazah Shamsiah yang diterajui Azizah Mahzan, saya bawa watak budak sekolah dalam cerita yang banyak membabitkan elemen nasihat itu.

“Selepas drama itu, Mama Erma tawarkan saya untuk memegang watak Munirah dalam drama Kau Yang Terindah pula.

Saya juga tidak hadiri uji bakat ketika berlakon dalam drama itu dan bila di lokasi barulah saya tahu cabaran watak Munirah yang kena pukul dan ragut.
Sebagai pelakon baru, saya hanya buat apa yang saya mampu,” katanya yang membahasakan Erma dengan panggilan Mama Erma.

Selepas watak Munirah, dia terus diberikan watak utama dalam drama Rindu Rania pula.

“Terbaru, rezeki saya semakin murah apabila ditawarkan beraksi watak utama dalam drama Cinta Itu Milikku arahan Emi Suffian dan bergandingan pula dengan Fazren Rafi dan Ana Dahlia untuk stesen TV3.

“Saya juga mendapat bimbingan daripada Emi dan Fazren sendiri yang tidak lokek berkongsi ilmu di lokasi. Hubungan dengan Ana pun rapat seperti keluarga apabila di lokasi drama ini,” katanya.

Namun, Emma mengakui masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam meningkatkan prestasi lakonan sedia ada.

“Saya tiada asas dalam bidang lakonan. Sebab itu, saya bersyukur kerana sudah ditawarkan watak utama dalam drama walaupun masih baru. Sebagai pelakon, tanggungjawab saya hanya memberikan yang terbaik untuk kepuasan penonton,” katanya.

Mengulas penampilannya yang terlalu ringkas pada majlis pelancaran drama Cinta Itu Milikku yang diterajuinya itu, Emma mengakui itulah personaliti dirinya yang sebenar.

“Saya memang jarang bersolek dan lebih suka tampil ringkas bila di luar. Saya sibuk melukis dan mana ada masa nak bersolek atau memakai aksesori seperti artis lain. Mungkin saya terikut-ikut dengan cara saya di rumah.

“Saya dibesarkan ayah dan perwatakan saya memang kasar seperti lelaki. Kalau di rumah, saya hanya ikat rambut dan kadang-kadang pakai kain pelikat ayah saja di rumah,” katanya.

Menyusul selepas ini, dia ditawarkan berlakon dalam filem terbitan pengarah Ahmad Idham tetapi penggambaran belum dimulakan lagi.

Sesibuk manapun berlakon, Emma tetap tidak sesekali melupakan minatnya melukis yang sudah sebati dalam dirinya.

“Bila tidak berlakon, saya mengisi masa dengan melukis di rumah. Memang rasa janggal bila saya tidak sertai pameran lukisan bersama ayah seperti yang biasa kami lakukan sebelum ini.

“Pada masa sama, saya juga tidak ada pendidikan formal dalam bidang lukisan dan melukis animasi dan potret pun kerana minat dan belajar sendiri di rumah dengan mendapat bimbingan daripada ayah,” katanya.
Artikel ini dipetik dari Hmetro

Suara

Suara

Suara
Suara