Current song:

Tengku Abdullah Tegur Rajagobal


KUANTAN - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menegur jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal kerana kerap menurunkan skuad eksperimen dalam perlawanan persahabatan termasuk menentang Vietnam dan Thailand baru-baru ini.

Tengku Abdullah dalam nada tegas bertitah, kekalahan dalam perlawanan persahabatan tersebut yang menimbulkan kebimbangan ramai termasuk FAM perlu diakhiri dengan segera.

Menurutnya, Rajagobal perlu memastikan skuad yang diturunkan merupakan kesebelasan utama bagi membolehkan Harimau Malaya mendapat momentum kemenangan menjelang sesuatu kejohanan.

“Ini satu kebimbangan dan saya berharap lain kali kalau ada perlawanan persahabatan di luar negara seharusnya kita membariskan pemain utama. “Cukup-cukuplah percubaan, apa yang lebih penting kenal pasti kesebelasan utama.

“Biarpun tidak semua bermain, sekurang-kurangnya sebahagian besar terlibat dalam perlawanan ini (persahabatan). Jika kita kerap tukar pemain, kita tidak akan dapat pemain yang serasi," tegasnya.

Tengku Abdullah ditemui pada program Kayuhan Diraja Karnival Rakyat 2012 sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Tengku Abdullah mengulas mengenai kekalahan skuad Harimau Malaya pada dua perlawanan persahabatan menentang Vietnam dan Thailand baru-baru ini, yang merupakan persediaan sebelum menghadapi Piala Suzuki AFF 2012.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Singapura dan Laos, sementara Vietnam yang menduduki ranking ke-140 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berada dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina dan Myanmar.

Tengku Abdullah bertitah kekalahan pada dua perlawanan persahabatan tersebut bukan menunjukkan kegagalan Rajagobal kerana skuad yang diturunkan bukan daripada kesebelasan utama.

“Objektifnya adalah untuk kenal pasti pemain-pemain baru, tetapi dalam hal itu juga, kita hendakkan momentum kemenangan kerana akan dapat memberi semangat dan moral untuk pasukan bagi menghadapi kejohanan ini (Piala Suzuki AFF).

“Saya rasa begitu banyak masa telah kita berikan untuk perkara tersebut tetapi dua kali kalah ini, merupakan satu kebimbangan untuk skuad Harimau Malaya terutama menjelang sepak mula Piala Suzuki AFF," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12
Dipetik Dari UTUSAN

Suara

Suara

Suara
Suara