Current song:

Transformasi karier seni Awie


KITA biasa lihat vokalis kumpulan lagenda Wings, Awie beraksi di atas pentas dengan imej rock dan sentiasa memberikan persembahan bertenaga ketika membuat persembahan. Namun, jangan terkejut kerana tidak lama lagi, Awie bakal tampil di kaca televisyen sebagai seorang pengacara pula.

Bagi Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, bidang pengacaraan sememangnya merupakan bidang baharu bagi empunya diri. Walaupun mempunyai jadual yang padat, Awie beranggapan, tidak salah baginya mencuba dalam bidang baru serta ingin bereksperimental dengan bakat yang ada.

"Tidak salah saya memadatkan lagi jadual saya. Namun saya akui, lari ke sana sini memang meletihkan, tapi jika tidak mencuba, bila lagi. Jadi, biar ini menjadi permulaan, dan mana tahu mungkin selepas ini rezeki lain pula datang, saya akan cuba lagi.

"Saya juga melihat percubaan ini sebagai sesuatu yang bagus dalam karier saya kerana ia boleh menambahkan pengalaman saya dalam bidang seni. Oleh kerana bidang seni mempunyai banyak cabang dan kebanyakannya saya telah mencuba, jadi saya mengambil bidang pengacaraan sebagai pengalaman baharu buat saya," jelas Awie panjang lebar ketika ditemui pada rakaman program Tunggu Sekejap yang bertempat di Studio 1, NTV7, Glenmarie, Shah Alam, Selangor,baru-baru ini.




Versatil

Memulakan karier sebagai seorang penyanyi sebelum sukses sebagai pelakon filem juga teater, karier seni Awie memang sudah berada pada tahap selesa.

Justeru, apabila dia muncul sebagai pengacara atau pengendali program bual bicara Tunggu Sekejap, Awie menyifatkan pembabitan pertama kali ini sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

"Selepas ditawarkan untuk menggendalikan program ini, saya mengambil tempoh seminggu untuk berfikir dan berbincang bersama isteri. Namun, isteri saya memberi sokongan dengan mengatakan tidak ada salahnya jika saya cuba untuk lakukannya.

"Ini kerana saya sudah menceburi pelbagai bidang yang pada mulanya juga pertama kali dan tidak pernah saya lakukan. Sebagai contoh, dahulu saya tidak berani berlakon teater, namun rezeki menyebelahi saya dan saya mendapat anugerah Pelakon Terbaik Teater menerusi pembabitan dalam teater Cuci The Muzikal dan Lat Kampung Boy, Alhamdulillah," bicara Awie serius.

Bercerita tentang program Tunggu Sekejap, ia memfokus kepada konsep yang berlainan dengan program bual bicara sedia ada apabila ia membabitkan tetamu yang mempunyai kebolehan atau pengalaman unik untuk dikongsi bersama penonton di studio mahupun di rumah.


BERMULA 11 November ini, Awie bakal muncul dengan program bual bicara kendaliannya, Tunggu Sekejap. Ia merupakan percubaan sulung Awie sebagai pengacara.

Malah dalam salah satu sesi rakaman tersebut, Awie menyahut cabaran tetamu jemputan yang hadir untuk menjamah kaca!

"Ada satu episod, saya berasa seperti dicabar untuk makan kaca. Saya pernah lihat dan cuba perkara ini sebelum ini. Oleh itu apabila disuruh, saya terus ambil kaca tersebut dan memakannya.

"Sementara itu, dalam satu episod lain pula, seorang lelaki, dia menunggang motosikal dari Pulau Pinang hingga ke Krabi, Thailand dengan berdiri di atas motosikalnya selama 19 jam. Itu antara cerita pelik yang saya dengar.

"Cerita-cerita unik seperti ini akan dapat disaksikan dalam program kendalian saya. Lebih membanggakan apabila ia dilakukan oleh rakyat Malaysia, bukan orang luar. Itu antara tarikan utama Tunggu Sekejap," ujar Awie.

Tambahnya, sebagai seorang penggiat seni, dia tidak mahu mengehadkan dirinya dan teruja untuk mencuba pelbagai cabang yang wujud dalam industri seni.


Sumber Dari Kosmo




Suara

Suara

Suara
Suara