Current song:

Usaha Bantu Rakyat Diperhebat - PM


SUNGAI SIPUT 17 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa segala usaha yang sedang dilakukan Barisan Nasional (BN) bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat akan tetap diteruskan, malah diperhebatkan jika parti itu terus diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perdana Menteri menegaskan, walaupun sudah banyak usaha sedang dilakukan bagi membantu setiap kumpulan masyarakat di negara ini, kerajaan sedar masih banyak lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk mengubah nasib rakyat keseluruhan.

Berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2012 di Ladang Info Ternak, di sini yang berlangsung penuh meriah dihadiri lebih 25,000 orang majoritinya kaum India, Najib berkata, kerajaan tidak akan mensesiakan kepercayaan yang diberi rakyat selama ini.

‘‘Saya hendak menyatakan kepada kaum India bahawa banyak yang telah kita lakukan. Tetapi saya juga sedar masih banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk mengubah nasib orang India dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
‘‘
Kita memerlukan sokongan rakyat, kita perlukan mandat baru daripada rakyat. Jika tuan-tuan bagi mandat, saya jamin usaha ini bukan sahaja akan diteruskan malah akan diperhebatkan lagi pada masa akan datang," katanya.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel; Timbalan Presidennya, Datuk Dr. S. Subramaniam; serta para pemimpin BN negeri dan Pusat.

Najib berkata, sepanjang tempoh pemerintahan BN, kerajaan telah mengambil pendirian bahawa kaedah membantu masyarakat India perlu diubah kerana kaum itu mahukan pembelaan yang lebih besar dan berkesan.

Lantaran itu jelas beliau, kerajaan telah melakukan perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini iaitu menambah jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selain menyediakan 1,500 tempat bagi pelajar India di matrikulasi berbanding hanya 500 sebelum ini.

‘‘Sebagai kerajaan, kita sebenarnya telah lakukan banyak usaha untuk mengubah nasib rakyat Malaysia. Usaha ini tidak akan terhenti termasuklah komitmen kita untuk terus membangunkan kawasan Sungai Siput ini," jelas beliau.

Pada masa sama, beliau mengajak setiap lapisan rakyat supaya berpegang kepada prinsip percaya mempercayai berdasarkan nambikei antara rakyat dan kerajaan.

‘‘Marilah kita berpegang kepada nambikei ini. Janji kita akan kita tepati. Saya yakin penduduk Sungai Siput sudah bersedia melakukan perubahan apabila tiba masanya," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/18
Dipetik Dari UTUSAN




Suara

Suara

Suara
Suara