Current song:

Drama Terbitan NSK Semakin Diminati


Astana Idaman, Awan Dania, Qalesya dan Di Bawah Ketiak Isteri merupakan antara drama yang mendapat sambutan hebat penonton ketika ditayangkan di kaca televisyen.

Judul-judul tersebut sebahagian daripada puluhan drama yang diterbitkan di bawah produksi Nusantara Seni Karya Sdn Bhd (NSK).

Ditubuhkan sejak enam tahun lalu, NSK terus menerajui dalam penghasilan drama-drama yang bukan saja berkualiti, malah digemari penonton.

Terbaru, drama Tiara yang dibintangi Adira dan Aliff Aziz di Astro Prima mencatatkan peningkatan rating tiga kali ganda sejak kali pertama bersiaran Oktober lalu. Menurut Ketua Perniagaan dan Pemasarannya, Sofiyant Rahman, NSK amat mementingkan konsep setiap drama dihasilkan.


"Memang drama-drama yang diterbitkan kebanyakannya popular dalam kalangan penonton, tetapi kita juga menitikberatkan kualiti.

"Apabila dari awal kita sudah menentukan konsep sesuai, barulah drama dihasilkan betul-betul kuat," katanya kepada Zass.

Bagi memenuhi permintaan penonton, kata Sofiyant, penghasilan drama tidak tertumpu kepada genre tertentu sahaja.

"Setakat ini, kita sudah menghasilkan pelbagai jenis genre drama seperti komedi, remaja dan cinta.

"Mengikut perancangan, mungkin tahun depan NSK akan menghasilkan drama bersiri bercorak kanak-kanak dan juga bertemakan Islamik," katanya.

Dari drama ke filem

Memiliki latar belakang kukuh dalam bidang penerbitan drama, kini NSK melangkah setapak lagi apabila mula menceburi penghasilan filem pula.

Menurut Sofiyant, sehingga kini, sudah tiga filem telah dihasilkan produksi ini.

"Filem pertama kita berjudul Paku kini dalam proses post-production dan dijangka ditayangkan tahun depan.

"Sementara dua filem lagi iaitu Sentuhan Malam Pertama dan Sunti masih menjalani penggambaran," katanya.

Menyedari trend mengangkat hasil karya drama ke layar perak semakin diminati, Sofiyant berkata, produksinya tidak menolak kemungkinan untuk turut berbuat demikian.

"Semuanya bergantung kepada sambutan diberikan penonton terhadap sesebuah drama.

"Jika ada permintaan untuk membawa drama terbitan kita ke filem, kita akan pertimbangkan," katanya.

Lebar kerjasama

Berkongsi perancangan jangka panjang NSK, Sofiyant berkata, mereka kini giat mencari tapak untuk menembusi pasaran di negara seberang, Indonesia.

Malah, NSK juga telah menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi di sana dalam usaha memperkenalkan drama dan filem Malaysia.

"Kami melihat kerjasama ini daripada perspektif menguntungkan kedua belah pihak.

"Kita bukan saja dapat membawa karya kita ke sana, tetapi juga sebaliknya.

"Malah, maklum balas penggiat seni dari sana juga sangat baik," katanya.

Sumber Dari Sinar Harian
Suara

Suara

Suara
Suara