Current song:

Dua Ujian Penting

SKUAD Harimau Muda bakal menghadapi beberapa
kejohanan penting sebelum temasya Sukan SEA 2013
di Myanmar pada penghujung tahun ini.
KEJAYAAN mempertahankan 'ibu emas' temasya Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia sudah menjadi sejarah indah buat skuad Harimau Muda.

Sebelum itu, skuad negara kendalian Datuk K. Rajagobal melakar gemilang lebih awal apabila meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos. Kini, persoalan sama ada anak-anak buah Ong Kim Swee mampu melakar sejarah baharu mencipta hatrik bakal terjawab pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.

Berdasarkan rekod, sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959 di Bangkok (dahulunya dikenali sebagai Sukan SEAP), skuad negara masih belum berjaya memenangi emas bola sepak buat kali ketiga berturut-turut.

Justeru, Kim Swee enggan terlalu selesa dengan reputasi selaku juara bertahan pada temasya kali ini, sekali gus memburu emas ketujuh dalam acara bola sepak buat kontinjen negara.

Menurut beliau, dua ujian terakhir iaitu Pestabola Merdeka dan Newspaper Cup kira-kira tiga bulan sebelum temasya Sukan SEA 2013 bermula dilihat menjadi detik penentu sama ada anak-anak buahnya berjaya melakar hatrik kali ini.

"Saya dalam perancangan membawa Harimau Muda menyertai Pestabola Merdeka (Ogos) dan juga kejohanan jemputan Newspaper Cup di Vietnam pada Oktober depan. Ia sebahagian daripada persiapan pasukan mempertahankan emas Sukan SEA nanti.

"Selepas kedua-dua kejohanan itu berakhir nanti, saya optimis sudah mengenal pasti sistem atau kelemahan pasukan dan tiada lagi eksperimen pada tiga bulan terakhir sebelum temasya Sukan SEA di Myanmar bermula," kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Selepas mempertahankan emas Sukan SEA 2011, Harimau Muda juga cemerlang muncul juara Piala SCTV dan Newspaper Cup biarpun gagal mara lebih jauh dalam kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun selain turut kecewa apabila ditunjukkan jalan keluar ketika kelayakan Olimpik London 2012 Zon Asia.

Kim Swee memberitahu, persiapan Harimau Muda juga tidak terhenti setakat itu apabila bakal berguru di Australia bermula 23 Januari ini sebaik tidak lagi menyertai saingan Liga Singapura (Liga S) bagi musim 2013.

Selain itu, Kim Swee berkata, beliau juga merancang untuk menimba ilmu di Slovakia atau benua Eropah untuk tempoh sekurang-kurangnya empat bulan pada pertengahan Mac depan, dan hanya kembali ke tanah air sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Cuma pada masa sama, kami perlu kekal realistik. Tiada gunanya muncul juara mana-mana kejohanan jemputan jika emas Sukan SEA terlepas daripada genggaman.

"Saya harap skuad Harimau Muda kali ini dapat memberikan yang terbaik di Myanmar nanti bagi memastikan kita mempertahankan kejuaraan," katanya optimis.

Menjelang temasya Sukan SEA kali ini, beberapa muka baharu seperti dua tonggak muda Perak, D. Kenny Pallraj dan Muhammmad Nurridzuan Abu Hassan, Saiful Ridzuwan Selamat (UiTM), Mohd Firdaus Muhammad (Harimau Muda B) dan Rozaimi Abdul Rahman dari Sabah merupakan antara pelatih terkini yang dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Muda.

Ia bagi menampung ketiadaan beberapa pemain asal skuad 2011 seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Fakri Saarani, Baddrol Bakhtiar dan Yong Kuong Yong yang telah melebihi usia 23 tahun.


Sumber Dari Kosmo!
Disiarkan Pada : 01/01/2013

Suara

Suara

Suara
Suara