Current song:

Usah Pandang Serong

Jaclyn Victor
Jaclyn perjelas dirinya bukan pemarah, tapi lantang bertempat

Penyanyi, Jaclyn Victor tidak kisah jika peminat menafsir dirinya cukup lantang dalam meluahkan isi hati di laman sosial peribadinya. Bagi penyanyi wanita bervokal mantap itu, dia bukanlah orang yang suka ‘naik hantu’ atau naik angin tidak tentu pasal.

Sebaliknya, akui Jaclyn atau mesra dipanggil Jac, hanya ruang itu saja yang dapat digunakan untuk meluahkan perasaan yang terbuku. Namun, Jac berharap tidak ada pihak yang memandang serong. Ini kerana baginya, catatan dalam akaun laman sosial itu adalah milik peribadinya.

“Saya bukanlah seorang pemarah yang suka marah-marah tidak tentu fasal. Memang ada ketikanya, saya akui lantang bersuara tetapi itu hanya berlaku jika kesabaran saya benar-benar diuji.

“Bagi saya, tidak salah meluahkan perasaan suka duka di laman berkenaan. Ia hak milik peribadi, jadi saya bebas untuk berkongsi apa saja di laman itu,” kata Jac kepada HIP.

Jac mengulas tindakannya meluahkan perasaan dalam laman sosial miliknya baru-baru ini yang pantas mengundang persoalan peminat yang tertanya-tanya apakah penyanyi itu sedang ditimpa masalah.

Sukar tetapkan tarikh perkahwinan 

Berbicara mengenai agendanya dalam melangkah tahun baru 2013, juara program realiti Malaysian Idol musim pertama ini nampaknya tidak mempunyai perancangan khusus.

Tatkala disoal mengenai rancangan menamatkan zaman solo, ternyata penyanyi lagu Gemilang yang sudah bertunang dengan jejaka Inggeris bernama Chris Bellamy sejak tujuh tahun lalu, tidak ada jawapan tepat.

“Saya tidak tahu hendak buat macam mana. Mungkin apa yang boleh saya katakan, setakat ini hanyalah bersabar dan tunggu saja (bila hendak berkahwin). Bila tiba saatnya nanti, akan saya beritahu semua.

“Bukan apa, hubungan jarak jauh bukanlah mudah. Saya di Kuala Lumpur sedangkan dia di London, jadi sukar untuk kami memikirkan mengenai perancangan untuk berkahwin,” jelas Jac.

Projek besar dengan artis antarabangsa 

Tahun 2012 yang melabuhkan tirainya semalam meninggalkan kenangan manis buat penyanyi ini. Sembilan tahun bergelar anak seni, Jaclyn nyata berpuas hati dengan perjalanan kerjaya seninya.

Malah, Jac baru merangkul anugerah Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu berjudul Counting Days ciptaan Aubrey Suwito pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang lalu.

Akui wanita ini, dia bersyukur kerana peminat menerima baik kehadirannya dalam industri ini. Jac berkata, nasibnya mungkin sentiasa baik dan dan laluannya dalam industri muzik seperti dipermudahkan.

“Saya beruntung kerana sering mendapat peluang baik. Walaupun pernah tidak ada album selama tiga tahun, tetapi peminat masih ingat dan menerima saya. Sepanjang tempoh itu, saya masih terbabit dengan projek khas seperti menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem mahupun muzikal.

“Dari situ, peminat melihat saya sentiasa ada dalam industri ini. Selain itu, hubungan dengan peminat juga sentiasa saya pelihara. Kami hanya bertemu pada waktu tertentu seperti baru-baru ini pada majlis hari lahir saya yang diadakan secara mengejut oleh peminat,” katanya yang mendedahkan projek besar yang menyaksikan dia berduet dengan seorang penyanyi antarabangsa tahun ini.

Namun butiran lanjut termasuk identiti penyanyi antarabangsa terbabit akan diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim, tidak lama lagi.


Sumber Dari Berita Harian
Disiarkan Pada : 01/01/2013
Suara

Suara

Suara
Suara