Current song:

Isi Hati Erra


Sekalipun enggan bercerita kisah peribadi yang sering diprovokasi ramai pihak termasuk media dan blogger, aktres digelar primadona filem Melayu moden, Erra Fazira terus tabah meniti hari.

Malah, pada pertemuan bersama HIP, Erra tampil ceria. Masakan tidak, ditemani jantung hati, Engku Aleesya Engku Emran yang kini berusia empat tahun, Erra bagai lupa segala-galanya. Tumpuannya ketika itu hanyalah kepada puteri kesayangan yang ditatang bagai minyak yang penuh.

Mendekati Erra, HIP berpeluang mendasari hati aktres popular ini. Tak dapat mengelak, soalan akhirnya menjurus kepada mengapa laman sesawangnya yang sejak akhir-akhir ini bagai menggambarkan dirinya dirundung sedih, tertekan dan kecewa.

“Sebenarnya, kehidupan kita semua tidak lari daripada permainan emosi. Ada kalanya kita merasakan begitu bahagia sekali dan tidak terlepas juga rasa kecewa dan sedih yang ingin kita luahkan. Saya juga tidak ada menulis status yang boleh mengaitkan diri dengan seseorang... Itu saya jaga. Tiada lain, luahan itu hanya peribadi saya saja.

“Namun, saya agak kesal apabila sering diprovokasi dalam laman sesawang. Mereka menulis seolah-olah mahu memanaskan isu dan sengaja melaga-laga kehidupan kami sekeluarga. Perkara ini sentiasa saya tangani dan tidak akan melayan individu sebegini,” katanya.

Erra ditemui HIP pada acara Back To School With Staedtler di Damansara Perdana, Petaling Jaya, kelmarin.

Terpaksa lupakan konsert JLo 

Masa senggang dimanfaatkan sebaiknya oleh Erra untuk bersama Aleesya.

Kelmarin, Erra sepatutnya menyaksikan konsert artis pujaannya Jennifer Lopez atau JLo di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, namun hasrat itu terpaksa dibatalkan demi Aleesya.

“Walaupun saya teringin menyaksikan konsert JLo yang kali pertama bertandang ke Malaysia, namun ia tidak sebesar nilainya dengan meluangkan masa bersama anak. Aleesya menjadi sumber kebahagiaan yang saya kecapi hingga hari ini dan tidak akan saya sia-siakan masa berharga itu.

“Saya sudah membeli lebih awal tiket konsert JLo tetapi disebabkan Aleesya, saya korbankan tiket itu dengan memberikannya kepada teman,” katanya.

Bina potensi si kecil dalam kelab kreatif 

Kehadiran Erra dalam acara Back To School With Staedtler cukup dirasakan peminat ciliknya. Ia menjadi aktiviti tahunan yang diatur kelabnya dengan diberi nama ‘Erra Art Club’.

Kelab yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu disertai kanak-kanak berusia seawal lima tahun hingga belasan tahun. Aktiviti yang dianjurkan termasuk permainan merangsang minda seperti melukis, mewarna dan lawatan tempat menarik yang dilakukan setiap kali musim cuti sekolah.

“Saya tubuhkan kelab ini sejak kehadiran Aleesya dalam hidup saya. Sejak bergelar ibu, saya sering memikirkan bagaimana hendak mendidik anak dengan merangsangkan mindanya agar pemikirannya sentiasa cergas dan sihat.

“Selain daripada didikan akademik, aktiviti merangsang minda ini menjadikan kanak-kanak lebih kreatif pada masa akan datang. Saya bertuah kerana inisiatif ini mendapat perhatian Staedtler yang menaja segala aktiviti kelab ini sejak dua tahun lalu,” katanya yang menganggarkan lebih 1,000 kanak-kanak sudah menjadi ahli dengan hanya mendaftar di laman sesawang kelab itu.


Berita Dipetik dari Berita Harian
Bertarikh 04/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara