Current song:

Kisah Filem Yang Gagal


Filem 29 Februari gagal menarik minat penonton.
JATUH naik sesebuah karya banyak mempengaruhi semangat setiap pejuang seni di dalam industri.

Kadang-kala apa yang diharapkan oleh mereka tidak kesampaian, ia akan memberi impak yang mampu membuatkan mereka 'terduduk'. Malah, ada pengarah dan penerbit terpaksa 'gulung tikar' gara-gara buat filem tidak laku di pawagam.

Sebagai contoh, filem 29 Februari merupakan sebuah filem tiga dimensi (3D) pertama yang wujud di Malaysia hasil produksi KRU.

Namun entah di mana silapnya, filem yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta ini tidak berjaya menarik perhatian penonton ke panggung wayang. Pilihan pelakon utama, Remy Ishak, juga sudah cukup kuat namun mahu tidak mahu, KRU perlu menerima realiti tersebut.


Sebelum ini, Norman Abdul Halim selaku Penerbit Eksekutif dan Presiden Eksekutif KRU Group of Companies, sendiri pernah memberi kenyataan bahawa dia sememangnya kecewa dengan kutipan filem tersebut yang hanya hanya mengutip jumlah di bawah RM500,000 sahaja.

"Selaku perintis filem format 3D, kami tidak perlu gentar dan sememangnya bersedia dengan sebarang risiko yang bakal dihadapi.

"Ia merupakan filem eksperimen bagi kami dan tidak pernah timbul rasa kesal kerana ia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. "Bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan mengharapkan semua orang untuk terus menerimanya memang sukar. Tetapi kami berpuas hati kerana telah mencuba," kata Norman.

Ternyata kata-kata individu ini yang telah terlibat sekian lama di dalam industri mampu menjadi contoh kepada mana-mana pihak yang gagal untuk menyinar pada tahun ini. Selain itu, Norman juga mengakui mereka juga terpaksa akur dengan kehendak penonton yang kini gemar menonton filem berunsur komedi, seram atau aksi.

Untuk masa akan datang, KRU Studios tetap akan menerbitkan filem berunsur eksperimen dan pelbagai genre mengikut kehendak semasa.

Terus melangkah

Azura 2012. Nama Azura itu sendiri sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan filem lakonan asal Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud pada 1984 ini tiada tandingan. Harus diingat, apabila filem remake dipentaskan kembali, tidak dapat dinafikan, penonton pasti akan membuktikan karya asal dengan yang baru.

Walaupun menyatakan filem Azura 2012 adalah hanya adaptasi daripada filem asalnya, namun kutipan yang rendah ternyata membuatkan produksi yang terlibat tidak senang duduk. Aziz M. Osman sendiri sebenarnya telah menyatakan awal-awal lagi mengenai perbezaan dua filem tersebut.

Kata Aziz sebelum ini, jangan dibandingkan dua filem tersebut kerana ia memang berbeza. "Saya tidak menolak dilema bahawa filem ini pasti mengundang perbandingan yang berterusan daripada penonton dengan filem lama Azura.

"Apa-apa pun, saya sudah cuba lakukan yang terbaik untuk filem tersebut. Turun naik dalam industri adalah perkara biasa," katanya. Tidak mahu mengalah hanya pada filem tersebut, Aziz kini bakal hadir dengan filem Penunggu, filem yang mengisahkan mengenai kehadiran paranormal.

Mungkin bunyinya kedengaran klise namun Aziz ada misi dan visinya yang tersendiri. "Filem ini nanti akan cuba untuk mengupas kelainan daripada segi tanggapan penonton terhadap filem seram dan pastinya lain daripada yang lain.

"Apa-apa pun, selepas Azura 2012, saya mahu betul-betul berpuas hati dengan hasil filem ini dan barulah saya akan hebahkannya. "Ini periuk nasi saya dan walau apa pun terjadi, saya tetap akan teruskan juga," jelasnya lagi.

Ternyata, bagi penggiat seni, tidak kisahlah dalam bidang apa pun, kekuatan dan juga sifat tidak mengenal erti putus asa merupakan perkara yang perlu ditanam di dalam diri.

Gagal sekali bukanlah bermaksud jalan mati namun ia sebenarnya memberi pengalaman, pengajaran serta lembaran baru kepada kita agar mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

Apa yang pasti, 2013 pastinya akan membawa nafas yang berbeza di samping cabaran dan badai yang pastinya tidak mampu dijangka.


Sumber Dari Utusan
Disiarkan Pada : 26/12/2012

Suara

Suara

Suara
Suara